Pakar Perubatan UKM Hasilkan Tiga Produk Inovasi Kesihatan Mampu Milik Bantu Golongan B40


Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 5 Februari 2020 – Pakar Perubatan Jabatan Ortopedik dan Trauma, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri telah mencipta inovasi dalam membantu pesakit berjalan dengan sempurna apabila berjaya menghasilkan tiga produk inovasi kesihatan yang baru untuk membantu golongan B40.

Tiga produk tersebut ialah MyB Ortho Shoes, MyB Air Walker dan MyB Muslim Prosthetic.

Menurut Prof Madya Dr Mohd Yazid, ketiga-tiga produk tersebut adalah hasil idea beliau setelah melihat ramai pesakitnya tidak mampu membeli kaki palsu dan kasut khas untuk membantu pergerakan.

Dari permasalahan itu, beliau mencari syarikat yang mampu bekerjasama bersama beliau dalam menghasilkan ketiga-tiga produk ini.

“Setiap produk ini mempunyai harga yang lebih rendah berbanding produk yang sedia ada dipasaran.

“Bagi kaki palsu (MyB Muslim Prosthetic), harganya adalah antara RM3,500 ke RM4,000, berbanding dengan produk sedia ada yang harganya mencecah RM8,000 manakala bagi Ortho Shoes pula harganya ialah antara RM350 hingga RM500 dan Air Walker pula ialah RM400 hingga RM600.

“Jika di pasaran, harga bagi Ortho Shoes adalah antara RM1,500 ke RM2,000 manakala Air Walker pula hamper mencecah RM1,000,” kata beliau ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Produk Inovasi UKM MyB Ortho Shoes, MyB Air Walker dan MyB Muslim Prosthetic di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran di sini.

Projek tersebut telah mendapat dana dari Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sebanyak RM273,400. Dana tersebut digunakan untuk menghasilkan tiga produk tersebut dan diberikan secara percuma kepada enam pesakit dari golongan B40.

MyB Ortho Shoes ialah sepasang kasut rekaan khas mengikut keselesaan kaki pesakit bagi mencegah berlakunya komplikasi yang disebabkan oleh penyakit Diabetes Mellitus dan MyB Air Walker adalah alat bantu berjalan yang mempunyai sensor khas untuk mengesan berat berlebihan pesakit. Teknologi tersebut dicipta khas untuk pesakit yang baru sahaja menjalani pembedahan akibat kecederaan patah tulang atau kecederaan ligamen bagi tujuan proses penyembuhan berlaku secara optimum.

Manakala MyB Muslim Prosthetic ialah kaki palsu yang direka khas bagi memudahkan pergerakan pesakit terutama ketika solat kerana kaki palsu itu boleh dibengkokkan seperti kaki normal.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohamad dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM), Prof Dr Ismanizan Ismail serta Timbalan Pengarah Pusat Inovasi, Prof Madya Dr Maslina Jamil.