Pasangan Perlu Elakkan Banding Kehidupan Dengan Orang Lain

1
Oleh Engku Shariful Azni
Pix Abd Ra’ai Osman

BANGI, 3 Mei 2016 – Suami isteri perlu elakkan budaya suka membandingkan kehidupan mereka dengan pasangan lain kerana itu tanda orang yang kurang bersyukur, kata Dr Suzana Mohd Hoesni, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Suzana, yang menyampaikan ceramah beliau, berkata pasangan perlu meneliti banyak perkara dalam kehidupan rumah tangga yang makin mencabar pada masa ini terutama dari segi kewangan.

Namun apabila pasangan berasa kurang puas hati dengan diri sendiri, mereka akan mula membandingkan diri mereka dengan pasangan lain yang disangka   lebih baik kehidupan.

“Bila kita mula membandingkan kehidupan mereka dengan pasangan lain, ia sangat bahaya kerana ia tidak akan berkesudahan,” jelas beliau dalam rancangan Wanita Hari Ini baru-baru ini.

Seorang lagi tetamu pelakon dan pengacara Diana Amir, pula mengatakan bahawa kewangan adalah penting namun pasangan perlu tahu apa itu erti cukup dan rasa bersyukur dengan nikmat yang ada.

“Kalau kita tidak tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak, kita tidak akan tahu apa yang kita mahu dan tidak akan pernah cukup dengan apa yang diberi,” tambah beliau dalam rancangan tersebut yang membawa tajuk ‘Isteri Mampu Milik’.

Rancangan Wanita Hari Ini disiarkan secara langsung di Panggung Seni UKM selama dua hari dengan tajuk yang berkaitan dengan kehidupan berumah tangga.

Turut diadakan sesi bersoal jawab dan curahan pendapat daripada penonton yang terdiri daripada warga UKM dengan ahli panel jemputan.ukmnewsportal-bm
2

3