Pasukan Keselamatan UKM Terima 2 Buah Kereta Peronda Polis Bantuan


Oleh Nur Aisyah Mohamed Rizal
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Oktober 2022 – Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMShape) memberi transformasi dengan menyumbang dua buah kereta Proton Saga kepada Polis Bantuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor, Prof.  Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pasukan keselamatan UKM yang telah dinaiktaraf kepada polis bantuan universiti dapat meningkatkan perkhidmatan keselamatan dan ketenteraman warga universiti.

“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang banyak membantu untuk merealisasikan tranformasi ini.

“Bukan sahaja kita menaikkan taraf kemudahan awam, tetapi kebajikan pasukan keselamatan kita juga mejadi keutamaan.

“Saya berharap dengan adanya kemudahan ini, ia dapat meningkatkan lagi iltizam pasukan keselamatan untuk menjaga ketenteraman universiti kita yang dicintai. Syabas saya uncapkan kepada semua yang menjayakan transformasi ini,” katanya semasa Majlis Penyerahan Sijil Pemilikan Kenderaan dan Kunci Kereta Polis Bantuan, di sini.

Sementara itu, Pendaftar UKM, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla berharap agar dengan adanya kenderaan tersebut, pasukan keselamatan akan dapat memperkasakan keselamatan kampus dengan lebih efisyen.

“Semoga anggota pasukan keselamatan menjadi lebih berwibawa dan bersemangat untuk menjaga UKM dengan lebih baik,” katanya.

Sumbangan dua buah kereta itu adalah melalui UKMShape yang diterima pada 26 September 2022. Kereta tersebut akan digunakan untuk tugasan pengoperasian.

UKMShape juga akan menyumbangkan 10 buah motosikal dan sebuah kereta Triton kepada pasukan keselamatan.

Majlis yang dianjurkan oleh Bahagian Keselamatan UKM turut dihadiri oleh Pengaraj UKMShape, Prof Datuk Dr. Muhammad Hussin, Pengarah Yayasan Canselor, Prof. Ts. Dr. Faizal K.P. Kunchi Mohamed dan  Pengarah Keselamatan UKM, Mejar (Besara) Dato’ Asri Ahmed.