Pasukan Penyelidik Muda UKM Bangunkan Teknologi Fermentasi Hasilkan Minuman daripada Air Kelapa Tua dengan Manfaat Kesihatan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 20 September 2019 – Pasukan penyelidik muda dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Dr Lim Seng Joe telah berjaya menghasilkan minuman daripada air kelapa tua (keruh) menggunakan kaedah penapaian yang membawa kepada peningkatan manfaat kesihatan.

Dr. Lim berkata, penyelidikan tersebut telah bermula sejak setahun yang lepas, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Linaco Resources Sdn. Bhd. (Linaco), yang merupakan pengeluar produk berasaskan kelapa terbesar di Malaysia.

“Air kelapa yang kita gunakan ini adalah air kelapa tua yang keruh dan kita menjalankan proses penapaian terhadapnya. Air kelapa tua yang telah menjadi keruh tidak sesuai dipasarkan sebagai minuman kerana berkualiti rendah dan tidak elok untuk diminum.

“Oleh itu, kami membangunkan teknologi fermentasi pada air kelapa ini untuk dijadikan produk baharu yang selamat untuk diminum,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perlesenan Teknologi (TLA) antara UKM Technology Sdn Bhd dengan Linaco, di Bilik Mesyuarat Canselori, Bangunan Pentadbiran UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata, pasukannya pernah mengadakan kolaborasi penyelidikan dengan Linaco, untuk menjalankan penyelidikan lain yang berskala kecil.

“Daripada kolaborasi tersebut, kami telah mengadakan perbincangan susulan, dan didapati kilang mereka mengeluarkan air kelapa dan air kelapa yang dihasilkan tidak semuanya elok. Ada sesetengah air kelapa yang rosak dan keruh, dan terpaksa melalui proses rawatan air sebelum dibuang (anggaran dua tan sehari), yang secara literalnya.

“Ini melibatkan kos dan menyebabkan kerugian yang besar kepada pihak syarikat. Oleh itu, mereka datang kepada kami untuk berbincang dan bertanya adakah air kelapa yang keruh boleh digunakan semula. Kemudian, saya berbincang dengan Dr Shazrul Fazry Sa’ariwijaya berkenaan dengan permintaan Linaco dan Dr. Shazrul bersetuju dengan penyelidikan ini,” katanya.

Ujarnya, proses penyelidikan itu memerlukan pasukannya membawa teknologi makmal kepada kilang bagi penghasilan produk air kelapa terfermentasi pada skala komersial.

“Di pihak UKM, kami tidak menghasilkan produk, tetapi membangunkan teknologi untuk Linaco. Melalui TLA ini, tanggungjawab utama kami adalah memberi khidmat nasihat kepada mereka (Linaco) mengenai teknologi yang dibangunkan, serta kaedah untuk menaik-skala teknologi ini ke arah pengeluaran skala komersial di kilang mereka.

“Produk ini boleh pergi jauh dalam pasaran. Linaco merancang untuk eksport produk berasaskan kelapa ini terutamanya ke China dan Eropah,” katanya.

Sementara itu, Dr Shazrul Fazry berkata, air kelapa yang keruh adalah produk buangan kepada syarikat Linaco kerana ia adalah out of spec.

“Air minuman berasakan air kelapa terfermentasi hasil daripada teknologi kami mampu mengatasi masalah ini (air kelapa keruh) dan memberi kebaikan kepada pengguna di atas khasiat yang terkandung dalam air minuman tersebut.

“Pada masa itu, kami dah ada beberapa penyelidikan yang menggunakan mikroorganisma iaitu yis dan bakteria. Idea tersebut datang dan kami menjalankan beberapa sampel percubaan dan dapati ianya adalah berdaya maju, iaitu boleh diperkembangkan sebagai salah satu produk.

“Kami telah menghasilkan beberapa prototaip kepada Linaco untuk dirasa (air kelapa terfermentasi) dan kedua-dua pihak berasa yakin yang produk ini boleh dipasarkan,” jelasnya.

Pasukan penyelidikan itu turut dianggotai oleh dua lagi penyelidik FST iaitu Prof Dr  Wan Aida Wan Mustapha dan Dr Babul Airianah Othman.