Pasukan Tuanku Canselor Ungguli Perlawanan Persahabatan Skuasy

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Jun 2016 – Pasukan Tuanku Canselor (PTC) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Perlawanan Persahabatan Skuasy antara Pasukan Tuanku Canselor dengan Pasukan Naib Canselor (PNC) 2016 yang diadakan di Kompleks Skuasy Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

PTC telah melakar kejayaan selepas memenangi tujuh perlawanan daripada sembilan perlawanan yang dipertandingkan pada 4 Jun lepas.

Manakala Pasukan Naib Canselor (PNC) mencapai kejayaan dalam dua perlawanan sahaja.

PTC telah melakar tiga kemenangan untuk kategori Perseorangan Lelaki yang membariskan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, anakanda Tunku Zain Al-Abidin dan Mohd Ghazi Al-Rashid dan satu kejayaan dilakar oleh PNC yang diwakili oleh Pendaftar UKM Abd Razak Hussin.

Bagi kategori Perseorangan Wanita, kedua-dua kejayaan dicatat oleh PTC yang membariskan dua pemain iaitu Korporal Shaliza dan Intan.

PTC terus mencatat keunggulan apabila merebut dua daripada tiga perlawanan untuk kategori Beregu Lelaki apabila pasangan Tunku Zain Al-Abidin dan Rovvin bersama pasangan Mohd Ghazi Al-Rashid dan Rovvin berjaya menundukkan beregu dari PNC.

Namun demikian, pasangan Beregu Lelaki PNC boleh berbangga dengan gandingan Prof Dr Fauzi Abdullah dan Dr Rizal Yusof selepas berjaya menundukkan beregu dari PTC.

Pada pertandingan itu, turut diadakan perlawanan khas antara DYMM Tuanku Muhriz dengan Prof Emeritus Dato’ Dr Hood Mohamad Salleh, yang memihak kepada Prof Dato Dr Hood dengan catatan 11-7, 4-11, 7-11.ukmnewsportal-eg
2

3

4