Pegawai Kadet PALAPES Berjaya Ditauliah


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 27 Januari 2022 Seramai 254 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dari enam buah universiti awam telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah.

Pegawai Kadet yang terlibat adalah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mereka ditauliahkan dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39 (Zon Tengah 1) yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM sebagai tuan rumah.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.

Dalam ucapannya, beliau berharap Pegawai Muda yang baru ditauliahkan terus terlibat secara aktif dalam aktiviti dan latihan askar wataniah agar pengetahuan ketenteraan yang dimiliki dapat dikembangkan.

Tambahnya, Pegawai Muda yang berminat untuk menyertai Angkatan Tetap boleh membuat pemohonan melalui Skim Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau dengan menyertai Pasukan Kerahan.

“Sebagai Askar Wataniah, anda adalah modal insan yang akan membantu dan sentiasa bersedia untuk mengambil alih tugas Angkatan Tetap. Penyertaan kesemua pegawai amat dialukan oleh Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya.

“Manfaatkanlah semua pengalaman, ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang anda menjalani latihan PALAPES selama tiga tahun di universiti masing-masing,” katanya.

Beliau juga turut menekankan semangat kekitaan atau sense of belonging dalam kalangan pegawai agar semangat patriotik dan cintakan negara terus kekal tersemat kukuh dalam jiwa.

Dalam majlis yang sama, Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UKM dianugerahkan kepada Leftenan Muda Muhammad Amirul Farhan Abd Razak

Turut hadir Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Ts Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan Naib Canselor Jaringan Indsutri, Alumni & Masyarakat Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim.