Peguam Muda Perlu Seimbangkan Pertuturan Bahasa Inggeris dan Kemahiran Berhujah – Ketua Hakim Negara

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 15 Julai 2016 – Peguam muda perlu seimbangkan kebolehan pertuturan dalam Bahasa Inggeris dengan kemahiran berhujah bagi meningkatkan standard dan kualiti peguam terutamanya dalam kemahiran kepeguaman, kata Ketua Hakim Negara, Tun Dato’ Seri Ariffin Zakaria.

Katanya ramai peguam boleh bertutur dengan baik dalam Bahasa Inggeris tetapi gagal berhujah dengan bagus.

“Untuk itu, kualiti kemahiran kepeguaman perlu diperkemaskan. Tanggungjawab tersebut bukan sahaja perlu digalas oleh pensyarah tetapi semua pihak berkepentingan termasuk Badan Kehakiman,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau berkata MoU yang ditandatangani itu akan memfokuskan kepada tujuh skop kerjasama antara PKPMP dengan UKM yang meliputi hak terhadap akses penerbitan, pelaksanaan program judicial clerkship, kemudahan penyelidikan, penempatan pelajar dan ahli akademik, program sangkutan pelajar dan ahli akademik, aktiviti mentoring, kursus serta persidangan dan penggunaan kemudahan seperti bahan rujukan bagi tujuan penyelidikan.

“Saya berharap MoU yang ditandantangi ini bukan sahaja memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran pelajar tetapi pada masa yang sama dapat merapatkan hubungan antara ahli akademik dengan hakim-hakim,” katanya.

Tun Ariffin berkata MoU itu merupakan permulaan yang baik ke arah meningkatkan kualiti pendidikan undang-undang di Malaysia.

“Saya berharap agar usaha ini akan berjaya mencapai objektifnya. Di pihak Badan Kehakiman, kami komited untuk memberikan komitmen kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berkolaborasi dengan Badan Kehakiman bagi meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan undang-undang di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM dan Mahkamah Persekutuan berhasrat untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, rundingan, pembangunan dan promosi kepakaran undang-undang.

“Beberapa aktiviti telah dirancang. Antaranya perkongsian kepakaran, perundingan, penerbitan dan sumber ilmu, bekerjasama dalam aktiviti penyelidikan, penganjuran program wacana ilmu, pertukaran pelajar, penempatan sabatikal ahli akademik dan kemudahan menggunakan perpustakaan bagi pegawai mahkamah dan kakitangan akademik UKM,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa Fakulti Undang-Undang sedang mengorak langkah untuk mewujudkan Inn of Courts berdasarkan idea yang diketengahkan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara.

“Saya harap intipati MoU ini akan digunakan sepenuhnya bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang,” katanya.

Beliau juga berharap kerjasama itu akan dapat menyumbang kepada misi UKM untuk meningkatkan kualiti pelajar dan tenaga akademik serta meningkatkan tahap kemahiran dan kepakaran undang-undang di Malaysia.ukmnewsportal-bm
3

2