Pelajar Baharu UKM Pamer Bakat Seni Budaya


Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 September 2018 – Hanya berlatih selama 4 jam dalam persembahan tetap menjadi keutamaan dengan mempamerkan bakat seni yang boleh dibanggakan oleh pelajar-pelajar baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2018-2019 sempena Malam Tunas Seni di Dataran Gemilang pada 5 September baru-baru ini.

Bakat terpendam ditonjolkan dengan persembahan yang dibahagikan kepada 3 segmen iaitu dikir barat, muzik gamelan, muzik cak lempong; segmen kedua dengan persembahan silat, tarian cina, tarian etnik Sabah dan Sarawak, tarian India dan tarian Joget Samrah.

Manakala di segmen tiga, pelajar-pelajar baharu mempersembahkan sketsa dan boria, nasyid, muzik modn dan kumpulan koir.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan Universiti turut memberikan persembahan khas yang mendapat sambutan hangat di kalangan pelajar yang hadir.

Turut sama hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Dr Ahmad  Tafsir Lope Pihie dan pengetua-pengetua kolej kediaman.

Malam Tunas Seni UKM tersebut adalah salah satu aktiviti sempena Minggu Mesra Mahasiswa bertemakan UKM Menjuarai yang telah bermula sejak 2 September hingga 6 September 2018.

Pada Sesi Akademik 2018/2019, UKM menawarkan sebanyak 4,107 tempat kepada pelajar baharu.

Pengambilan kali ini melibatkan 67.22 peratus pelajar perempuan dan 32.78 peratus pelajar lelaki.  Sebanyak 76 program di peringkat Ijazah Sarjanamuda ditawarkan iaitu 47 program sains dan 26 program sastera.

Buat pertama kalinya, UKM  memperkenalakan program baru iaitu Ijazah Sarjanamuda Sains Citra dengan Kepujian dengan pengambilan 100 orang pelajar baru.