Pelajar Farmasi UKM Bantu 30 Keluarga Angkat Tingkatkan Taraf Kesihatan

UKM Pharmacy Students Help 30 Families Raise Health StatusOleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

HULU LANGAT, SELANGOR,  17 April 2015 – Seramai 89 orang pelajar Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diagihkan kepada 30 keluarga angkat bagi membantu meningkatkan taraf kesihatan keluarga angkat masing-masing melalui program Operasi Khidmat Masyarakat Fakulti Farmasi UKM (OPKIM) kali kedua di Hulu Langat di sini.

Mereka yang berkampung selama empat hari tiga malam di rumah keluarga angkat bermula 16 April membantu masyarakat di lima buah kampung melalui aktiviti klinik bergerak.

Melalui klinik bergerak, pelajar-pelajar akan melawat dari rumah ke rumah untuk membuat saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, berat badan  dan memberi khidmat nasihat mengenai cara penggunaan ubat dengan betul.

Pengarah OPKIM 2014/2015, Muhammad Haniff Ramli berkata selain dari memberi kesedaran dan kefahaman masyarakat setempat tentang kepentingan penjagaan kesihatan, peserta juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat serta mengenali gaya hidup masyakat di kawasan tersebut.

“Pelajar perlu ambil peluang ini dalam mengenali dengan lebih dekat kehidupan masyarakat di sini di samping memberi maklumat tentang kepentingan kesihatan dan penggunaan ubat dengan teratur,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian OPKIM di Dewan Datuk Nazir, Pekan Batu 14 di sini.

Sementara itu, wakil dari Kampung Dusun Tua, Ramly Yunan yang menerima empat orang anak angkat berharap agar hubungan antara pelajar-pelajar dengan penduduk kampung itu akan terus terjalin dan dilanjutkan melalui program lain pula.

“Saya harap hubungan itu akan berterusan walaupun selepas ini pelajar-pelajar  balik semula ke kampus dan akan terus berhubungan selepas program ini tamat. Mungkin kita boleh adakan program keluarga angkat ke kampus pula,” katanya.

Katanya, selain dari memberi perkhidmatan saringan kesihatan kepada penduduk kampung di sini, peserta-peserta OPKIM UKM juga boleh membantu dan memberi motivasi kepada remaja di kampung ini tentang kepentingan ilmu.

“Zaman sekarang ni anak-anak terlalu terdedah dengan gajet dan media sosial. Tetapi mungkin mereka tidak menggunakan dengan cara yang betul. Jadi saya harap pelajar-pelajar UKM dapat memberi motivasi kepada anak-anak di sini supaya lebih mengutamakan pelajaran,” katanya.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Imran Ho Abdullah dan turut hadir pada majlis perasmian adalah Dekan Fakulti Farmasi, Prof Dr Ibrahim Jantan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah gotong royong membersih dan mengecat surau, ceramah agama dan sukaneka.

ukmnewsportal-bm