Pelajar Lepas Rindu Kehidupan Di Kampus

Oleh Salleh Sulieman

Apabila memperkatakan kehidupan di kampus, perkara yang sering terbayang adalah seperti menghadiri kuliah, mengadakan perbincangan berkumpulan atau beriadah bersama rakan-rakan. Kehidupan di kampus, dengan kata lain, menawarkan pengalaman seumur hidup kepada mahasiswa universiti.

Malangnya apabila pandemik Covid 19 melanda dunia sekitar dua tahun sudah, lanskap kehidupan manusia sejagat berubah sama sekali. Institusi pengajian tinggi di seluruh dunia, termasuklah Malaysia, menerima tempias yang hebat sekaligus memaksa institusi mengubah kaedah pembelajaran dari fizikal kepada dalam talian.

Terkini IPT telah membenarkan pelajar untuk pulang ke kampus. Banyak kelonggaran telah diberikan. Meskipun pengajaran dan pembelajaran dalam talian masih berjalan sepenuhnya, sedikit sebanyak pelajar berasa lega kerana dapat kembali ke kampus.

Baru-baru ini tinjauan cuba mendapatkan pandangan mahasiswa UKM berkenaan dengan kehidupan yang dijalani di kampus.

Kelas fizikal lebih menyeronokkan

Bagi Jamaluddin Fadzli, 23 tahun, pengalaman mengalami kuliah dan makmal secara fizikal selama dua tahun sebelum peralihan kelas secara dalam talian dirasakan amat ketara perbezaannya.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, fungsi makmal juga bertukar secara dalam talian. Pada mulanya agak sukar kerana terpaksa berhadapan dengan isu teknikal dan komunikasi tetapi lama-kelamaan kami dapat menyesuaikan diri,” jelasnya.

Beliau yang merupakan pelajar tahun akhir dari Fakulti Sains dan Teknologi ini giat menyiapkan projek tahun akhir berkaitan dengan topik cuaca angkasa berpendapat kelas secara fizikal lebih menyeronokkan.

Kata anak kelahiran Melaka ini, menghadiri kelas secara fizikal lebih menyeronokkan kerana beberapa sebab.

“Saya dapat merasai suasana dan berjumpa dengan kawan-kawan dan pensyarah. Berbeza sekali dengan kelas dalam talian yang jelas berhadapan dengan isu komunikasi,” tambahnya yang bercita-cita untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang perubatan fizik.

Kelas dalam talian lebih mencabar

Yashawini Abaquin A/P Singaravelu

Berlainan pula dengan Yashawini Abaquin A/P Singaravelu, 23, beliau hanya berkesempatan menghadiri kelas secara fizikal selama satu semester sahaja sebelum PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

“Pada mulanya saya rasa kelas dalam talian ini agak fleksibel. Namun lama-kelamaan saya mula berasa bosan. Saya juga hampir mengalami ‘burnout’ akibat terlalu lama terperap dalam bilik,” katanya yang mengambil jurusan Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Untuk kekal aktif, beliau menyertai program sukarelawan yang mengedarkan makanan dan barang keperluan kepada pelajar yang memerlukan di Pusanika.

“Saya menyertai program sukarelawan yang dikenal sebagai Persatuan Kasih Mahasiswa (KASISWA) dianjurkan sepanjang PKP pada setiap minggu. Dari situ saya boleh berinteraksi dengan orang ramai,” jelasnya.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur amat menyanjungi UKM sejak sekian lama dan tidak pernah menyesal dengan keadaan seperti ini.

“Sebelum ini saya pernah berharap agar kelas fizikal dapat diadakan kembali. Namun, kini saya redha dengan ketentuan dan terima keadaan seadanya,” katanya.

Ingin kenal rakan seperjuangan

Muhammad Adli Jamiri, Fakulti Pengajian Islam

Muhammad Adli Jamiri dari Fakulti Pengajian Islam pula langsung tidak pernah merasai kelas secara fizikal rentetan pengumuman PKP yang dibuat oleh kerajaan. Beliau yang sepatutnya memulakan pengajian pada pada Semester 1 Sesi 2020/2021, kini berada di tahun kedua pengajian.

“Pada mulanya saya terkejut kerana pelbagai persediaan untuk kelas fizikal telah dibuat sebelum memulakan kelas pada semester pertama. Namun, kami terpaksa akur dengan pengumuman PKP yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Namun begitu, pelajar bidang Bahasa Arab dan Tamadun Islam ini memilih untuk pulang ke kampus pada tahun kedua pengajian kerana terlalu menginginkan suasana kehidupan di kampus. Malahan, idea untuk pulang ke kampus ini turut menerima sambutan rakan-rakannya yang lain.

“Setelah hampir dua tahun, saya masih belum mengenali semua rakan sekelas. Jadi kami semua bersetuju untuk pulang ke kampus dan ambil peluang yang ada untuk saling berkenalan. Kesempatan yang masih ada ini boleh digunakan untuk menjalani aktiviti dalam kampus bersama-sama meskipun tidak dapat menghadiri kelas atau kuliah.

“Lagi pun, saya tidak ada banyak masa lagi di kampus kerana akan menjalani latihan industri selama setahun pada tahun hadapan. Saya amat berharap pada suatu hari nanti kelas secara fizikal akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.