Pelajar PhD UKM Menang Pingat Emas di Tehran


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 24 April 2018 – Pelajar Ijazah Doktor Falsafah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ho Kah Chun memenangi pingat emas di International Nanotechnology Olympiad (INO) 2018, di Tehran baru-baru ini.

Beliau bersama tiga lagi ahli kumpulannya iaitu dua ornag dari Universiti Malaya dan seorang dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah membentangkan penyelidikan bertajuk Nano-Palm Frond Titania Fiber (PFTF) membrane for industrial waste water treatment (reduction of methylene blue dye and hexavalent chromium).

Kah Chun berkata konsep waste to wealth itu, menggunakan sisa pelepah sawit untuk menghasilkan bahan cellulose cetate yang digabungkan bersama bahan nano titania untuk menghasilkan membrane menggunakan proses electrospinning.

“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk menyiapkan projek ini, tetapi kami telah menghasilkannya dengan sebaik mungkin dan akhirnya kami berjaya,” katanya.

Beliau berkata, pada mulanya beliau hanya menyertai Pertandingan Olimpiad Nanoteknologi Kebangsaan anjuran Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (PNK) pada tahun lepas.

“Dalam pertandingan itu, 188 peserta telah melalui ujian peringkat awal dan hanya empat sahaja yang terpilih dan layak untuk bertanding ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, beliau bersama tiga rakan sepasukan telah menjalani dua fasa latihan yang diatur oleh PNK.

“Kami telah menggunakan makmal-makmal penyelidikan di UKM, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Monash University dan makmal-makmal swasta seperti Hi-Tech Instruments, CREST Nanosolutions dan Progene Link bagi membantu penyediaan membrane nanofiber, perincian bahan dan pengujian prestasi membrane PFTF merawat pewarna dan logam berat,”jelas beliau.

Beliau berkata, dengan kejayan itu, beliau lebih bersemangat untuk meneruskan penyelidikannya dalam tajuk tersebut dan beliau berharap agar dapat menerbitkan hasil penyelidikan itu di jurnal berimpak tinggi.