Pelajar Semester Akhir Disaran Mohon Kerja Sekarang

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Mei 2016 – Mahasiswa Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) perlu memohon kerja semasa berada di semester akhir bagi mengelakkan diri daripada terus menganggur, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Razali Ibrahim.

Beliau berkata seluruh wagra kampus perlu menanamkan semangat kepada pelajar tahun akhir agar mencari kerja seawal mungkin bagi mengelak diri daripada menganggur selepas tamat belajar.

“Kita kena pastikan apabila mereka berada di semester akhir dalam apa jua bidang pun, mereka bukan hanya berfikir untuk lulus peperiksaan sahaja tetapi mereka perlu fikir tentang kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan UKM 2016 yang dianjurkan oleh Kolej Ibu Zain dengan kerjasama beberapa pusat tanggung jawab UKM.

Beliau berkata ekspo kerjaya dan keusahawanan ini adalah jalan terbaik bagi membantu pelajar-pelajar tahun akhir mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Beliau menjelaskan ia tidak mustahil berlaku kerana ramai pelajar yang mengambil jurusan kemahiran mendapat tawaran kerja sebelum mereka habis belajar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UKM 2016, Justin Tan Wei Jin berkata selain dari membawa pihak industri ke UKM bagi memberi peluang kepada pelajar mencari peluang pekerjaan, penganjuran karnival itu juga adalah bagi menyahut cabaran untuk keluar dari zon selesa.

Kata Tan kemahiran keusahawanan adalah sangat penting sekarang ini kerana kebanyakan syarikat memerlukan staf yang mempunyai kemahiran keusahawanan.

Menurut beliau matlamat menganjurkan program ini adalah untuk membawa kesedaran bahawa kadar kebolehpasaran graduan kini berada pada tahap yang kurang memuaskan.

Lebih 30 syarikat mengambil bahagian dalam ekspo ini yang menawarkan pekerjaan kepada pelajar mengikut kelayakan masing-masing.

Turut hadir pada majlis ini Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Dr Noor Aziah Mohd Awal.ukmnewsportal-bm

2