Pelajar Tahun Akhir Perubatan Perlu Bersedia Bekerja Di Luar Negara

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto: Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 4 Mei 2016 – Graduan perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu bersedia untuk bekerja di luar negara jika mereka tidak boleh mendapatkan pekerjaan tetap di Malaysia, kata Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata mereka perlu membiasakan diri untuk menjadi doktor di persekitaran yang berbeza kerana terdapat lebihan graduan perubatan di negara ini.

“Anda mungkin perlu bekerja dalam persekitaran yang berlainan, seperti Zimbabwe atau Yemen, dalam masyarakat yang berbeza,” katanya kepada 200 pelajar tahun akhir perubatan, kejururawatan dan perubatan kecemasan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Naib Canselor 2016 di Kampus Perubatan baru-baru ini.

Malahan, kini terdapat kekurangan pekerjaan untuk doktor dalam kerajaan dan graduan perubatan mungkin perlu menunggu selama lapan bulan untuk latihan dalam hospital.

Menurutnya, doktor perlu bersedia menghadapi ketidakpastian dan sanggup  berkhidmat dalam kapasiti yang berlainan di jabatan selain daripada Kementerian Kesihatan.

Oleh itu, katanya, beliau sering menasihatkan pelajar tahun akhir untuk membangunkan bakat lain dan menonjol diri berbanding rakan-rakan mereka dari universiti lain.

Beliau tidak menolak kemungkinan mereka mungkin memutuskan kemudian hari menukar laluan kerjaya dan melakukan sesuatu yang lebih diminati.

Turut hadir pada perjumpaan ini  ialah masing-masing Timbalan Naib Canselor Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat (Akademik dan Antarabangsa) dan Prof Dato Noor Aziah Mohd Awal (Pelajar dan Alumni).ukmnewsportal-bm
2

3