Pelajar UKM Ceria Terima Sumbangan Yayasan UEM


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan hashim

BANGI, 14 Mei 2019 – Seramai 49 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ceria selepas menerima sumbangan sebanyak RM3,600 daripada Yayasan UEM melalui Program Bantuan Pelajar dengan jumlah keseluruhan adalah RM176,400.

Bantuan kewangan yang diberikan itu adalah untuk tempoh dua semester bagi sesi akan datang.

Ia sebahagian daripada RM925,000 yang diperuntukkan Yayasan UEM bagi meringankan kos sara hidup mahasiswa daripada keluarga B40 universiti tempatan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim berkata, Pusat-pusat Tanggungjawab di bawah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni akan terus menjadi pemudah cara kepada mahasiswa dalam membantu pelajar menjalani kehidupan di kampus.

“Dengan adanya bantuan ini, diharap ia menjadi pemangkin untuk terus meraih kecemerlangan dan mampu mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat di masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan UEM, Roslan Abd Razak berkata, seramai 257 pelajar telah dikenalpasti dari pelbagai universiti awam untuk menerima bantuan kewangan tersebut.

Katanya, dua aspek utama yang diberi penekanan Yayasan UEM adalah pendidikan dan bantuan kemasyarakatan.

“Sumbangan ini merupakan satu daripada inisiatif berfokuskan kepada masyarakat. Kami perlu melakukan (menyumbangkan) dengan apa yang kami ada dan kepada mereka iaitu pelajar gunakanlah sepenuhnya,”tambah beliau.