Pelajar UKM Johan Pertandingan Pengucapan Awam IMPACT 16

Oleh : Ashikin Mansuruddin

PULAU PINANG, 29 Disember 2016 – Pelajar Tahun 3 Komunikasi Media, UKM, Ahmad Afiq Hashim telah menjuarai pertandingan pengucapan awam IMPACT 16 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)  Pulau Pinang.

Ahmad Afiq yang menyampaikan tajuk ‘Ethnic and Cultural Diversity’ menggunakan  pengalamannya sebagai pelajar mobiliti di beberapa negara ASEAN untuk membantu dalam pengucapan sekaligus memenangi tempat pertama dan menewaskan 19 peserta yang lain.

“Inspirasi datang daripada pengalaman dan sentimen kekeluargaan yang diterima sepanjang lima bulan mengikuti program  Asean International Mobility for Students (AIMS).

“Bagi saya, kita semua ASEAN dan kita semua manusia. Tiada manusia yang sempurna sebaliknya kita saling melengkapi satu sama lain dan itu antara pengajaran terbesar yang saya dapati daripada program AIMS dan saya menggunakan semua itu untuk menguatkan pengucapan saya,” ujarnya.

Immersion Project Appreciation Tribute 2016 atau IMPACT 16 adalah program yang diadakan bagi mempertemukan pelajar-pelajar komunikasi media dari universiti tempatan dan juga dari negara jiran.

Antara universiti yang terlibat ialah UKM, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universitas Muhammadiyah Yogjakarta Indonesia.

IMPACT 16 juga memperlihatkan dua pelajar Komunikasi Media UKM memenangi tempat kedua dalam pertandingan penulisan rencana Bahasa Inggeris dan tempat ketiga dalam pertandingan penulisan rencana Bahasa Melayu.