Pelajar UKM Juara Perseorangan Wanita di Kejohanan Badminton Antarabangsa Hungary YONEX ke-41

By Asmahanim Amir

BANGI, 9 Disember 2016 – Pelajar Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yap Rui Chen, menjadi juara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa Hungary YONEX ke-41 bagi kategori perseorangan wanita baru-baru ini.

Pelajar tahun dua ini yang menduduki tangga ke 561 dunia telah menewaskan peserta dari Denmark, Sofie Holmboe Dahl, yang berada pada kedudukan ke-83 dunia dengan pungutan mata 14-12, 11-5, 6-11, 11-8.

Dalam temubual baru-baru ini, Yap berkata beliau mula bermain badminton pada umur enam tahun, dan kebanyakan anggota keluarganya terlibat secara aktif dalam badminton.

Penyertaan beliau dalam Kejohanan di Hungary ini adalah atas jemputan Hungarian Multi Alarm Sport Club, dan bukti kejayaan beliau semakin meningkat dalam mengukir nama dalam arena badminton antarabangsa.

Menyedari potensi yang ada pada Yap, UKM menyokong sepenuhnya keputusan beliau untuk bersaing di arena antarabangsa.

Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Dato’ Dr Norazah Mohd Nordin berkata fakulti berbangga dengan pencapaian Yap.

“Yap adalah contoh seorang pelajar yang cemerlang dapat menguruskan akademik dan aktiviti ko-kurikulum,” tambahnya.

Pensyarah-pensyarah lain turut memuji pencapaian Yap dan berkata bahawa Yap adalah seorang pelajar yang sangat berdisiplin, bercita-cita tinggi dan bertanggungjawab, yang sentiasa berusaha untuk mengejar walaupun ketinggalan kelas kerana menghadiri latihan dan kejohanan badminton.

Seramai 196 peserta daripada 30 negara mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, yang telah dinaik taraf kepada status Challenge International.ukmnewsportal-bm