Pandemik Covid-19 Satu Ingatan Agar UKM Sentiasa Kekal Relevan – Tuanku Canselor


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 18 Mei 2020 – Pandemik Covid-19 yang melanda dunia kektika ini adalah satu ingatan agar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sentiasa kekal releven dan bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran, sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah universiti kebangsaan iaitu Pendaulat Amanah Negara, titah Tuanku Canselor, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Baginda bertitah, UKM telah menetapkan kompas moral dan intelektual, dengan komitmen yang tegas terhadap kecemerlangan yang mampu memacu universiti dalam apa juga keadaan, sama ada keadaan tenang atau gelora waktu krisis.

“Walau apapun keadaan yang dihadapi, UKM masih terus berpegang kuat akan janjinya kepada masyarakat dan negara.

“Dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19, beta berbangga kedua-dua Ketua Pengarah Kesihatan serta Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam adalah alumni UKM.  Mereka dan ramai lagi alumni tersohor dalam sektor awam dan swasta menjadi testimoni kepada kejayaan UKM, dalam mendidik anak bangsa.”

Baginda menyampaikan titah ucapan tersebut sempena Sambutan 50 Tahun UKM

“Universiti Kebangsaan Malaysia: Mencipta Masa Depan”, yang disambut hari ini melalui aplikasi Zoom.

Titah baginda,  kejayaan yang dikecapi UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan terulung di Malaysia yang disegani serta pengiktirafan sebagai antara 200 universiti terbaik di dunia, tidak datang mengolek.

“Beta yakin ini hasil usaha, iltizam dan titik peluh semua warga universiti – para akademik, pengurusan, pelaksana dan pelajar, demi kelangsungan dan kejayaan sebuah universiti kebangsaan.

“Bagaimana UKM mengemudi 50 tahun akan datang amat penting untuk memberi makna kepada hasrat, cita-cita dan aspirasi penubuhannya.

“Untuk UKM Mencipta Masa Depan, memerlukan setiap warganya mengukuhkan semangat gigih, keteguhan iltizam, kesediaan ilmu, kemahiran dan keupayaan menangani cabaran. Kita tidak ada pilihan, melainkan UKM mesti cemerlang, terlakar namanya di jagatraya (dunia), namun berakar umbi pada jiwa masyarakat sebagai kelangsungan sebuah universiti kebangsaan,” titah baginda.

Lima dekad yang lalu pada tanggal 18 Mei 1970, hasil perjuangan generasi terdahulu, sebuah universiti kebangsaan yang menjadi kebanggaan seluruh lapisan masyarakat di negara ini telah ditubuhkan sebagai “kemuncak sistem pelajaran kebangsaan”.

Bermula dengan kumpulan perintis 192 orang pelajar prasiswazah di tiga fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Fakulti Sains, kini UKM mempunyai kira-kira 200,000 alumni yang mempamer kehebatan menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara dalam pelbagai sektor.