Pendedahan Awal Bantu Krisis Air Negara


Oleh Azril Izzat Ramlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Jun 2022 – Pendedahan di peringkat awal terhadap usaha melestarikan alam sekitar amat penting bagi membentuk gaya hidup masyarakat yang memanfaatkan air bersih selain menitikberatkan penjagaan alam sekitar, kata Dato’ Seri Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia (KASA).

“Kerosakan di bumi serta krisis air akan berlaku sekiranya pembangunan dan pemodenan tidak sejajar dengan pemeliharaan kelestarian sumber air,” katanya.

Beliau berkata sedemikian semasa Program Bedah Buku Air dan Pembetungan: Sejarah serta Perspektif yang diadakan di Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM, semalam.

Beliau yang juga merupakan penulis utama buku tersebut menjelaskan, buku ini mudah difahami kerana ia menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas dan sesuai dijadikan bahan bacaan ibu bapa dan pendidik.

Buku terbitan NAHRIM dan KASA ini turut ditulis bersama enam orang penulis lain iaitu Dr. Ching Thoo A/L Kim (Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) KASA, Dato’ Dr. Md Nasir Md Noh (Ketua Pengarah JPS), Dr. Razul Ikmal Ramli (Timbalan Ketua Kluster Sub Kluster Kewangan Awam, INTAN), Prof. Dr. Azmi Aris (Pengarah Institut Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, UTM), Prof. Dr. Kassim Thukiman (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM), dan Ir. Ts. Haji Mohamed Haniffa Haji Abdul Hamid, FASc (Felo Akademi Sains Malaysia).

Program tersebut turut dihadiri oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM.

Beliau berkata, buku yang dihasilkan itu amat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan dalam kalangan kumpulan pembuat dasar, pegawai kerajaan, ahli profesional, ahli akademik serta mahasiswa dari pelbagai jurusan ilmu bagi menambah kefahaman mereka berkaitan sejarah, sistem, dan kepentingan air dan pembentungan.

“Buku yang dihasilkan oleh tujuh orang pakar terbaik di Malaysia ini diharap dapat menganjakkan paradigma pemikiran rakyat Malaysia untuk bersama-sama memelihara sumber air dan bekalan air bersih di negara kita,” katanya.

Program yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar dari RTM sebagai moderator itu turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi dari UKM, NAHRIM dan KASA.