Penduduk Parit Sulong Terima Vaksin Melalui PPV Bergerak HCTM (PPV IPT@UKM)


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

Batu Pahat, 26 Jun 2021 – Seramai 1,230 penduduk di sekitar Parit Sulong, Johor telah menerima suntikan vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

PPV Bergerak HCTM ialah program rintis pemberian vaksin secara mobile melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), dan merupakan salah sebuah PPV Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) dalam usaha mewujudkan imuniti kelompok dengan segera.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, PPV Bergerak itu dilaksanakan sejak dua minggu lalu bagi memberi akses vaksinasi yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar

“Selain PPV yang digerakkan oleh HCTM ini, PPV IPT@UNIMAS telah berjaya mencatat sebanyak 5,584 penerima vaksin sehari. Sejak beroperasi 10 hari lalu, sejumlah 37,758 penerima telah menerima vaksin di PPV IPT Unimas.

“PPV IPT@USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) pula akan dibuka dengan kapasiti 3,000 penerima vaksin sehari,” katanya dalam satu kenyataan program rintis PPV Bergerak, HCTM di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Noor Hisham Abdullah yang turut meluangkan masa melawat PPV Bergerak HCTM di Batu Pahat berkata, projek yang bermula sejak 14 Jun 2021 itu adalah sebahagian daripada usaha IPT tempatan untuk meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 penduduk Malaysia di bawah PICK.

Tambahnya lagi, penduduk di sekitar Parit Sulong telah menerima suntikan vaksin melalui tiga kaedah yang dijalankan.

“Kaedah tersebut ialah PPV Satelit di dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat bagi individu yang stabil dan perkhidmatan outreach vaksin yang berpusat di Balai Penghulu atau Ketua Kampung.

“Selain itu, terdapat juga lawatan dari rumah ke rumah dalam kawasan Semerah dan Kampung Seri Medan bagi pesakit yang terlantar di rumah atau warga emas/OKU yang tiada kemampuan fizikal/mental untuk hadir ke PPV.

Beliau berkata satu garis panduan bagi pelaksanaan pemberian vaksin rumah ke rumah telah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan segala langkah diambil demi menjaga keselamatan penerima vaksin dan mengikuti prsedur operasi standard (SOP).

“Bagi warga emas terlantar yang kelihatan lemah, uzur dan sakit peringkat akhir (terminal illness), penilaian akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan terlebih dahulu terhadap kesesuaian pesakit untuk menerima vaksin,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Turut hadir ke program rintis PPV Bergerak, HCTM (PPV IPT@UKM) di Batu Pahat ialah Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.