Selidik Maklumat Sebelum Sebar Dalam Media Sosial

1
Oleh Engku Shariful Azni
Foto  Izwan Azman

BANGI, 20 April 2016 – Masyarakat perlu bijak menggunakan media sosial dan menjadikan pemeriksaan akan kesahihan sesuatu maklumat sebagai suatu amalan sebelum menyebarkan maklumat tersebut, kata ahli panel Forum Bicara Persada Ke-28 yang bertajuk Keganasan Persepsi: Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Hal ini kerana, menurut forum tersebut,  penyebaran maklumat yang palsu boleh mengakibatkan ‘keganasan persepsi’

Menurut salah seorang daripada ahli panel, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, laman sosial terutamanya Facebook dan WhatsApp kini menjadi wadah utama untuk menyampaikan maklumat, tetapi kadangkala disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat yang tidak benar yang boleh menjejaskan keamanan negara.

Sementara itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, berpendapat masyarakat terlalu asyik menyebarkan maklumat yang diterima bulat-bulat tanpa memeriksa kesahihannya.

“Kita suka untuk menyebarkan maklumat kepada orang lain kerana ingin jadi orang pertama memberi maklumat kepada orang lain dan rasa gembira apabila maklumat yang ditulis dalam laman sosial mendapat banyak ‘like’,” katanya.

Dari perspektif undang-undang, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, berpendapat undang-undang sedia ada sukar membendung keganasan persepsi kerana tempoh penyebaran maklumat yang begitu pantas menyebabkan kerosakan yang telah dilakukan sukar untuk dicegah.

Oleh itu, beliau menasihatkan para akademik supaya membuat penyelidikan menyeluruh tentang sesuatu isu sebelum diterbitkan untuk bacaan umum.

Datuk Dr Hassan Mad, Setiausaha Majlis Perundingan Melayu meluahkan rasa bimbang apabila orang yang terlibat dalam keganasan persepsi ini adalah golongan yang bijak pandai, tetapi mereka kurang matang dari segi emosi untuk berfikir sejenak secara kritikal sebelum menyebarkannya kepada orang lain.

ukmnewsportal-bm

2

3