Pengkomersilan dan Pemerkasaan Program TVET Fokus Utama Kerjasama UKM-JTM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 10 Mei 2019 – Dalam menghadapi arus gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kualiti pengajaran dan pembelajaran perlu dipertingkatkan terumanya yang melibatkan bidang teknikal dan vokasional.

Atas kesedaran itu, Jabatan Tenaga Manusia telah menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk Projek Pemerkasaan Program dan Pengkomersilan Produk Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) termasuklah aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan produk ILJTM, memperkukuhkan kurikulum, infrastruktur dan tenaga pengajar ILJTM.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, projek kerjasama JTM-UKM itu adalah tepat pada masanya selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan teknikal di seluruh negara.

“Projek ini akan dijalankan oleh sekumpulan penyelidik UKM yang telah dilantik bagi tempoh tiga tahun bermula April 2019 sehingga tahun 2022.

“Projek ini akan turut meliputi program pemerkasaan latihan TVET (Technical and Vocasional Education and Training) di ILTJM selaras dengan usaha JTM menghadapi Gelombang IR4.0,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan JTM di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, baru-baru ini.

Katanya, terdapat banyak produk inovasi yang berpotensi telah dihasilkan oleh pelajar dan pengajar ILJTM tidak dapat dipasarkan kerana tiada platform yang kondusif disediakan walaupun telah meraih pelbagai kejayaan dalam pertandingan inovasi sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Pengkomersilan produk inovasi tidak hanya tertumpu kepada keuntungan sahaja, sebaliknya ia juga penting sebagai insentif kepada pengajar dan pelajar untuk lebih bermotivasi untuk menghasilkan produk inovasi yang berkualiti,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM sangat berbesar hati untuk berkongsi hasil penyelidikan dan kepakaran dengan pelbagai pihak berkepentingan sebagai sebahagian sumbangan universiti kepada negara dan memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan.

“Kita mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang. Jadi kita mahukan kepakaran ini digunakan untuk membangunkan negara,” katanya.

Beliau berharap kerjasama itu nanti akan menghasilkan lebih banyak produk tempatan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing berada dalam pasaran di peringkat antarabangsa.