Peningkatan Permintaan Air Bersih Cabaran Terhadap Sumber Air Negara


O
leh Iznee Isa
Foto
Izwan Azman

BANGI, 4 Ogos 2017- Permintaan terhadap air minuman bersih sentiasa meningkat sekaligus menimbulkan cabaran unik terhadap sumber air tersebut, kata penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Md Pauzi Abdullah.

“Gaya hidup dan amalan pelupusan buangan perlu diperbaiki bagi memastikan keselamatan dan kelestarian sumber air kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Umum bertajuk ‘Kualiti Air Minum: Cabaran dan Harapan’ pada Program Rampai Penyelidik UKM 2.0 baru-baru ini.

Katanya, sasaran utama kerajaan adalah untuk menghasilkan bekalan air bersih yang boleh diminum terus daripada paip.

“Namun terdapat beberapa faktor yang menghalang sasaran ini dicapai seperti saluran paip yang kotor.

“Air yang disalurkan memang bersih tetapi apabila air tersebut sampai pada pengguna, kotoran di saluran paip itu mengakibatkan air tidak selamat untuk diminum terus,” jelas beliau.

Beliau berkata kajiannya mendapati hanya 40 peratus sahaja air sampai kepada pengguna daripada jumlah keseluruhan air yang disalurkan.

“Air tersebut hilang dalam perjalanan. Ini mungkin berpunca daripada paip pecah,” katanya.

Penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan beliau turut menemukan kehadiran pelbagai komponen pharmaceutical seperti ubatan preskripsi dalam permukaan air dan dalam loji rawatan kumbahan.

“Kita khuatir bahan kimia yang tidak diketahui ini boleh mendatangkan kesan sampingan yang berbahaya terhadap kesihatan manusia kerana teknologi rawatan pengklorinan tidak berupaya mengurai bahan kimia tersebut,” kata beliau.

Beliau berharap peraturan berkaitan air minuman akan dilaksanakan segera untuk mencegah kemasukan bahan kimia tersebut ke persekitaran dan menambah baik pengurusan sumber air negara.

Turut hadir di syarahan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Sahrim Ahmad.