Pensyarah UKM Hasilkan Aplikasi AR-Faseh Tingkat Penguasaan Kosa Kata Bahasa Arab


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Dr. Lily Hanefarezan Asbulah

BANGI, 1 September 2021 – Pensyarah dari Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan aplikasi pembelajaran kosa kata bahasa Arab berasaskan teknologi realiti terimbuh (augmented reality – AR) melalui pendekatan pembelajaran secara interaktif dan menyeronokkan yang diberi nama AR-Faseh.

Penyelidikan yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam UKM, Dr Lily Hanefarezan Asbulah itu dibangunkan melalui Geran Dana Penyelidikan Pengajaran dan Pembelajaran UKM 2021 bersama tiga lagi penyelidik lain.

Mereka ialah Dr. Tan Siok Yee daripada Fakulti Teknologi Sains Maklumat (UKM), Ts. Dr. Mus’ab Sahrim, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (USIM), dan Hilman Nordin yang merupakan Pengarah Urusan Syarikat Wariscan Sdn. Bhd yang memberikan konsultansi, latihan serta bimbingan dalam bidang realiti terimbuh daripada perspektif industri terhadap perjalanan projek ini.

Dr Lily Hanefarezan berkata aplikasi itu berpotensi meningkatkan kefahaman kosa kata Bahasa Arab dan berupaya meningkatkan tahap minat pelajar melalui teknik paparan objek yang menarik menggunakan pendekatan objek 3D, animasi, audio dan video melalui imbasan kamera peranti ke arah imej tertentu yang telah direka.

“Aplikasi ini dirangka berdasarkan penggunaan kosa kata bahasa Arab yang kerap digunakan dalam seharian yang disaring berdasarkan sumber autentik (korpus Arab) dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab, dan boleh dijadikan sebagai sokongan alat bantu mengajar secara interaktif di universiti mahupun di sekolah bagi kursus berkaitan,” katanya.

Beliau berkata idea projek tersebut tercetus apabila melihat para pelajar sering meluahkan kesukaran untuk mengingati kosa kata yang sudah dipelajari.

Selain itu, katanya, kaedah pembelajaran kosa kata Bahasa Arab yang masih bersifat hafalan dan menggunakan kaedah secara tradisional mendorong penyelidik memberi nafas baharu dalam pembelajaran bahasa Arab di Malaysia dengan menghibridasi elemen teknologi realiti terimbuh terutamanya bagi aspek kosa kata yang perlu dikuasai oleh para pelajar.

“Teknologi ini berupaya menggabungkan objek maya ke dalam dunia realiti dan membolehkan pengguna berinteraksi dengan objek maya tersebut secara nyata. Ini selaras dengan objektif geran penyelidikan yang diterima iaitu untuk mempertingkatkan inovasi pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran berteraskan teknolgi digital melalui kepakaran in- house,” katanya.

 Tambah Dr. Lily Hanefarezan, hasil kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi memerlukan penguasaan kosa kata anggaran 3,500 hingga 5,000 perkataan.

Namun begitu, ujarnya, isu penguasaan saiz kosa kata pelajar yang terhad menyebabkan para pelajar mempunyai masalah yang berkaitan dengan dengan penguasaan bahasa Arab. Hal ini kerana, pelajar yang mempunyai penguasaan saiz kosa kata luas diiktiraf sebagai pelajar yang memiliki kefasihan dalam sesuatu bahasa.

“Jadi, projek ini bertujuan untuk membantu pelajar untuk menguasai aspek kosa kata bahasa Arab yang perlu dipelajari. Aplikasi ini juga membolehkan pelajar mempelajari kosa kata bahasa Arab secara kendiri di era pandemik COVID-19 walaupun mereka tidak dapat hadir bersemuka dalam kuliah untuk bertemu dengan pensyarah,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa aplikasi itu bukan sahaja boleh digunakan oleh pelajar di peringkat universiti sahaja, malah ia mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk diperkembangankan kepada silibus Bahasa Arab di sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia.

“Projek ini juga boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play dalam masa terdekat dan boleh dimanfaatkan sebagai sokongan bahan pembelajaran bahasa Arab di institusi pendidikan seperti universiti awam atau swasta, sekolah-sekolah mahupun komuniti awam yang berminat untuk mempelajari bahasa Arab,” kata beliau.

Dr Lily Hanefarezan yakin projek itu mempunyai masa depan yang cerah memandangkan transformasi pendidikan sekarang telah beralih kepada pemerkasaan pendidikan secara digital.

“Melalui penyelidikan yang dihasilkan, aplikasi AR-Faseh ini dilihat berpotensi menghasilkan nilai komersil yang tinggi dan boleh dipasarkan ke peringkat global dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, ujarnya, aplikasi tersebut bukan sahaja boleh memanfaatkan penggunaan teknologi realiti terimbuh, malah di masa akan akan datang projek inovasi itu boleh diperkembangkan ke arah teknologi realiti maya (virtual reality).

“Pastinya ia akan menarik minat pelajar untuk terus mempelajari bahasa Arab tanpa jemu dan menyeronokkan,” katanya.

Projek penyelidikan itu telah memenangi Anugrah Inovasi Terbaik di Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (kNOvasi 20201) yang diadakan baru-baru ini dan memenangi pingat emas dalam Siri Bicara Tuntas UKM bagi Kategori Teknologi Memuncul dalam Pembelajaran Tanpa Sempadan.