Penyelidik Minyak Sawit Dinasihatkan Cari Sumber Baru Pembiayaan

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 25 April 2016 – Penyelidik kelestarian industri minyak sawit perlu mendapatkan sumber baru geran dan bukan hanya bergantung kepada pembiayaan daripada kerajaan atau pengeluar minyak boleh dimakan sedia ada, kata Pengarah Institut Perubahan Iklim (IPI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah.

Beliau berkata, kajian lanjut mengenai minyak sawit perlu diteruskan walaupun dana kewangan semakin sukar untuk didapati.

Pada masa yang sama, para saintis harus berupaya untuk melakukan kajian yang mempunyai kepentingan industri tanpa gangguan atau campur tangan dari pihak lain.

“Kita perlu bersatu bertindak sebagai kumpulan pendesak dan mencadangkan jenis penyelidikan minyak sawit yang dianggap sesuai, dan bukan ikuti kehendak industri sahaja,” katanya kepada penyelidik dari sepuluh universiti yang  mengambil bahagian dalam mesyuarat agung tahunan ketiga rangkaian Penyelidikan Akademik mengenai Minyak Sawit Lestari (ARPOS), di sini hari ini.

Beliau menggesa ahli-ahli rangkaian menjadi lebih tegas apabila mengesyorkan projek-projek mereka kepada penaja yang berpotensi, kerana sumber utama pembiayaan  memang mempunyai agenda mereka sendiri yang mungkin berbeza dari universiti.

Walau bagaimanapun, Prof Sharifah Mastura berkata, para penyelidik  sebenarnya lebih arif mengenai cara yang terbaik untuk melestarikan industri dan wajar mengemukakan cadangan mereka sendiri.

Mengenai pengurusan ARPOS, beliau berkata sebuah jawatankuasa sementara  baru akan dibentuk sebelum pemilihan pemegang jawatan diadakan lewat tahun ini.

Antara universiti yang menghadiri mesyuarat itu termasuk Universiti Nottingham Kampus Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Malaya.ukmnewsportal-bm

2