Penyelidik UKM dan UNIMAS Hasilkan Sistem Penskoran Madu Kelulut UKSF


Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Ikhwan Hashim

BANGI 12 September 2022 – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya menghasilkan satu inovasi hakcipta sistem penskoran bagi produk madu kelulut iaitu Unique Kelulut SuperFood Factor (UKSF).

Sistem penskoran madu kelulut UKSF itu dapat membantu meningkatkan lagi kualiti madu kelulut Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata sistem penskoran yang dihasilkan itu juga boleh diguna pakai bagi semua produk madu kelulut yang dihasilkan kerana tidak terhad kepada Malaysia sahaja, malah kepada Indonesia, Brazil dan beberapa negara pengeluar lain di dunia.

“Kejayaan penyelidikan ini dapat menjadikan madu kelulut setanding dengan madu Manuka yang telah lama menggunakan sistem penskoran berasaskan pembuktian saintifik,” katanya pada Majlis Pelancaran Unique Kelulut Superfood Factor (UKSF), di sini.

Beliau berkata analisis saintifik yang dijalankan dalam penyelidikan itu dapat membantu penternak kelulut untuk mendapatkan bukti terbaik yang akan menyokong kualiti produk madu yang dihasilkan.

Tambah beliau, isu lambakan produk madu palsu juga boleh diatasi dengan wujudnya sistem penskoran madu kelulut ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri II, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata dengan terhasilnya sistem penskoran produk madu kelulut (Unique Kelulut SuperFood Factor), beliau berharap lebih ramai penternak atau industri dapat turut sama memberi sokongan kepada UKM bagi memastikan produk madu kelulut yang dihasilkan adalah bermutu tinggi dan dapat dibuktikan dengan analisis saintifik.

Penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Razinah Sharif dari Fakulti Sains Kesihatan bersama Dr. Arnida Hani Teh dan Dr. Noorul Syuhada Mohd Razali dari Fakulti Sains dan Teknologi mendapat kerjasama penyelidik dari UNIMAS iaitu Prof. Dr. Zainab Ngaini dan Prof. Mohd Hasnain Md Hussain serta Hisham Yusoff dari industri Bayu Gagah (M) Sdn Bhd.

Kerjasama strategik itu adalah hasil daripada Geran Translasi 2021.