Penyelidik UKM Perlu Fikirkan Kos Dan Kreativiti

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 4 Ogos 2015 – Penyelidik-penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu kreatif dan inovatif dalam menjalankan penyelidikan bagi membolehkan sumber tenaga dapat digunakan secara maksimum.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata setiap tindakan yang dilakukan perlu meletakkan kaedah berfikiran secara baru.

“Cuba fikirkan setiap operasi kita sebagai cost centre dan berfikir secara baru. Anggapkan kita sebagai business entity and we must run a little bit like a business unit seperti yang dilakukan oleh sektor swasta yang sentiasa menekankan bahawa everything must think about cost,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Sambutan 10 tahun Institut  Biologi Sistem (Inbiosis) dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Inbiosis dan Pusat Teknologi Sime Darby Sdn Bhd di sini pada 30 Julai 2015.

Beliau berkata apabila berada dalam dunia akademik, ia perlu diseimbangkan dengan tuntutan masyarakat dan peranan serta tanggungjawab terhadap masyarakat tetapi pada masa yang sama tidak mahu mengalami kerugian.

“Jadi kita kena fikirkan cara baru bagaimana untuk kita menjana pendapatan tanpa perlu menggunakan sumber tenaga manusia yang ramai,” katanya.

Menurut beliau dalam menjangkau usia 10 tahun, Inbiosis perlu berusaha mempelbagaikan disiplin bersama bidang sains sosial dan kemanusiaan.

“Dalam melakukan penyelidikan sains, kita perlu lihat setiap peluang yang ada termasuklah bergandingan dengan para penyelidik dari bidang sains sosial dan kemanusiaan. Kadang-kadang perlu juga diterapkan dengan aspek budaya kerana akhirnya kita dapati tidak semua jawapan dalam kajian yang dilakukan itu mungkin lebih mementingkan perangai dan tingkah laku manusia. Cara berfikir dan kelakuan itu mungkin mengatasi sains dan teknologi,” terangnya.

Prof Mazlin berkata peluang untuk mencari penajaan melalui sesuatu perjanjian adalah kaedah terbaik dalam menghasilkan sesuatu kajian.

“Kita tidak mempunyai dana yang banyak untuk menjalankan sesuatu kajian. Tetapi apabila kita menandatangi perjanjian, ini menunjukkan kita berjanji untuk melakukan sesuatu. Contohnya MoA hari ini dilakukan kerana kita nak cari asid organik daripada kelapa sawit dengan menggunakan kaedah micro-organism untuk menghasilkan ubat-ubatan pada masa hadapan.

“Kalau ada peluang membina kepakaran bersama (dengan universiti lain) dan institut-institut penyelidikan di rantau Asia Tenggara, lakukan ini. Jika menjumpai ubat-ubatan dalam proses biological system yang baru ia adalah peluang keemasan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas, tahun ini dan tahun-tahun akan datang adalah tahun yang sangat mencabar dan perlu menggunakan tenaga manusia secara inovatif.

“Jadi kita perlu melakukan hubungan penyelidikan, inovasi, pengkomersilan dan keusahawanan bagi membolehkan apa yang dilakukan mendapat keuntungan. Jadi, kena fikirlah bagaimana cara yang boleh dilakukan,” tegasnya.

Apa yang dilontarkan oleh beliau bukan untuk menjadikan Inbiosis sekadar beraspirasi sebagai pusat penyelidikan kecemerlangan tinggi di Malaysia sahaja tetapi jika boleh di rantau Asia Tenggara.

“Inbiosis menjadi peneraju dalam bidang sistem biologi di Asia Tenggara dan saya percaya mungkin sekarang ini Inbiosis sedang mendahului institut penyelidikan lain tetapi tidak mempunyai kakitangan yang cukup. Jadi, di sinilah perlu bersifat kreatif, perlu membina jambatan sutra-penyelidikan dan inovasi dengan fakulti-fakulti dan institut-institut lain di UKM dan juga di Universiti Awam yang lain,” jelasnya.

Katanya jika ada peluang membina kepakaran bersama dengan universiti lain dan institut penyelidikan lain di Asia Tenggara, ia adalah peluang keemasan.ukmnewsportal-bm

2

3