Penyelidik UKM Terima Geran Penyelidikan 300,000 Pound Sterling


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 21 Februari 2017 – Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima geran penyelidikan bernilai 300,000 Pound Sterling bagi menjalankan projek ToyBox Malaysia.

Geran yang dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Perubatan atau Akademi Sains Malaysia (Dana Newton­ Ungku Omar) adalah bertemakan Meningkatkan Keseimbangan tenaga Sihat dan Tingkah Laku Berkaitan Obesiti dalam kalangan kanak-kanak Prasekolah di Malaysia: Kemungkinan Penyesuaian dengan ToyBox.

Ketua Penyelidik, Prof Dr Goh Bee Koon berkata geran itu diberikan kepada kumpulan penyelidiknya bagi menubuhkan intervensi untuk kanak-kanak prasekolah dalam memastikan diri mereka mengamalkan amalan sihat dan mengurangkan risiko obesiti serta menderita penyakit akibat kegemukan.

“Kita mendapati kira-kira 16 hingga 17.6 peratus kanak-kanak prasekolah di bandar dan luar bandar di negara ini mengalami masalah obesiti.

“Hasil kajian mendapati, masalah itu berlaku akibat lebih 60 peratus daripada mereka tidak aktif secara fizikal dan hampir separuh daripada mereka mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat,” katanya semasa sidang media projek ToyBox Malaysia di Fakulti Sains Kesihatan di sini baru-baru ini.

Projek yang mengambil masa dua tahun bermula Januari 2017 bermatlamat untuk menggalakkan kanak-kanak prasekolah meminum air kosong berbanding air manis, mengambil snek yang lebih sihat seperti buah-buahan berbanding makanan segera dan melakukan aktiviti fizikal berbanding lebih banyak duduk.

“Bagi menjayakan projek ini, kita juga akan berjumpa dengan ibu bapa bagi menerangkan kaedah pemakanan yang betul bagi mereka melatih anak-anak di rumah.

“Faktor utama adalah menggalakkan kanak-kanak untuk minum air kosong atau air masak, melakukan aktiviti secara fizikal untuk tempoh empat minggu.

“Amalan ini akan diulang selama dua minggu lagi bagi memastikan kanak-kanak tidak lupa dengan gaya hidup sihat yang dipupuk dalam diri mereka sebelum ini,” terangnya.

Beliau berkata elemen yang akan digunakan adalah menggunakan boneka bagi menarik perhatian kanak-kanak bagi mendorong pembelajaran mereka di dalam kelas.

“Untuk peringkat permulaan, kita akan laksanakan di Tabika KEMAS di Selangor dan Sarawak,” katanya.

Prof Dr Goh berkata pasukan penyelidiknya memilih kanak-kanak prasekolah kerana konsep mengamalkan gaya hidup sihat perlu bermula dari kecil bagi mengelakkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) apabila usia meningkat.

Projek tersebut turut melibatkan Dr Leigh Gibson dari Roephampton University sebagai Penyelidik Utama, Penyelidik Bersama dari United Kingdom iaitu Dr Cecilia Essau (Roephampton University), Dr Sue Reeves (Roephampton University) dan Dr Carolyn Summerbell (Durham University).

Selain itu, empat penyelidik Malaysia yang terlibat terdiri daripada Dr Ruzita Abd Talib (UKM), Dr Denise Koh C L (UKM), Dr Cheah Whye Lian (Universiti Malaysia Sarawak) dan Dr Julia Lee A C (Universiti Malaysia Sarawak).