Penyelidikan Corak Hiasan Melayu Tradisional Dikomersialkan Melalui Produk Pakaian


Oleh Murniati Abu Karim & Azril Izzat Ramlan
Foto Izwan azman

BANGI, 9 Jun 2022 Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (INOVASI@UKM) dan Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. melaksanakan penyerahan perjanjian pelesenan yang membolehkan corak hiasan Melayu tradisional yang bersumberkan alam semulajadi diekstrak ke dalam bentuk digital bagi tujuan pengkomersialan produk pakaian, terutamanya telekung wanita.

Perjanjian perlesenan ini membabitkan hasil penyelidikan corak hiasan Melayu tradisional yang diketuai oleh penyelidik UKM iaitu Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Melalui kerjasama ini, UKM dan Siti Khadijah Apparel berkongsi visi yang sama iaitu untuk mengangkat warisan seni Melayu tradisional ke persada antarabangsa.

Menurut Ts. Dr. Ros Mahwati, pasukannya menemui beberapa corak yang mempunyai nilai hasil kerja dan harta intelek yang dibuat pada abad ke-19.

Hasil kajiannya berjaya menghasilkan lapan corak daripada satu manuskrip.

“Lapan corak tersebut telah diperkenalkan kepada pihak Siti Khadijah dan mereka telah pilih yang terbaik bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Motif bunga berdasarkan manuskrip jarang diketengahkan maka, ini adalah pintu untuk memperlihatkan bahawa khazanah yang tersimpan ini boleh dihidupkan bagi pembuatan corak telekung,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata usaha untuk mengetengahkan corak dari khazanah seni Alam Melayu ini dapat memperkasa jati diri sebagai Keluarga Malaysia sejajar dengan naratif Watan UKM.

“Semoga corak yang dilesenkan ini menjadi satu permulaan bagi pengkomersialan dan penggunaan lebih banyak lagi corak seni warisan alam Melayu pada masa akan datang agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, terdapat banyak lagi corak hiasan alam Melayu yang menarik dan mempunyai nilai tinggi untuk dikomersialkan.

Beliau juga berharap lebih ramai lagi penyelidik akan turut sama dalam memberi sokongan dan komitmen untuk terus meningkatkan lagi kesedaran warga penyelidik UKM terhadap peranan menghasilkan produk yang berinovasi tinggi dan kompetitif dalam pasaran.

Majlis penyerahan perlesenan ini turut dihadiri oleh Pengerusi UKM Technology Sdn. Bhd., Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin.

Telekung yang menggunakan corak hiasan Melayu tradisional ini bakal dilancarkan oleh Siti Khadijah pada suku pertama tahun hadapan.