Perayaan DongZhi UKM Disambut Meriah


Oleh Tiong Siew Fong

BANGI, 29 Disember 2016 – Seramai 340 warga UKM telah memenuhi Dewan Anuwar Mahmud (DAM), Fakulti Sains dan Teknologi untuk menyambut perayaan DongZhi (Winter Solstice) pada majlis yang dianjurkan oleh Kolej kediaman Ibrahim Yaakub (KIY).

Pengetua KIY, Dr. Ruslin Amir ketika merasmikan majlis malam tadi, berkata majlis sambutan ini memainkan peranan khas yang mengekalkan dan memperkenalkan kebudayaan Tiong Hua kepada warga UKM.

“Saya berbangga dengan kesunggupan dan dedikasi barisan ahli jawatankuasa program Winter Solstice dalam mempertahankan warisan masyarakat Tiong Hua.

“Penganjuran program ini telah memberi peluang untuk menyatukan warga UKM tanpa mengira agama, kaum dan bangsa dan ia juga mendorong mahasiswa untuk mempelajari kepentingan interaksi budaya antara kaum,” katanya.

Perayaan DongZhi adalah salah satu perayaan tradisional Tiong Hua yang juga dikenali sebagai “solstis musim salji”.

Tarikh perayaan ini biasanya ditetapkan antara 21 Disember hingga 23 Disember pada setiap tahun.

“Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengukuhkan kesefahaman kebudayaan Tiong Hua agar tidak lapuk ditelan zaman bagi mencapai integrasi dalam kalangan mahasiswa,” kata ketua pengarah program DongZhi, Vivian Voon Chia Kei.

Program ini turut membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan menyerah derma yang berjumlah RM3800 kepada Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Pu Ai di Kajang.