Persembahan Puisi Bahasa Asing Warnai Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 8 September 2017 – Selalunya kita didengarkan dengan puisi dalam bahasa Melayu, tetapi puisi dalam bahasa asing juga tidak ada kurangnya.

Bagi memberi kelainan dalam persembahan, tiga pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM telah mempersembahkan puisi dalam bahasa asing iaitu Bahasa Arab, Bahasa Perancis dan Bahasa German.

Prof Madya Dr Ashinida Aladdin menyampaikan puisi Bahasa Arab, Dr Suzianna Mat Saad pula mendendangkan puisi Bahasa Perancis manakala Hasnoor Shima Ahmad Hassan dengan lancarnya menyampaikan puisi Bahasa German.

Pada malam itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali telah menyampaikan puisi bertajuk ‘Jiwa UKM Jiwa Merdeka’ hasil nukilan Abd Razak Hussin.

Turut mempersembahkan puisi adalah Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dato’ Dr Musa Ahmad dan pengurusan tertinggi UKM.

Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa turut dimeriahkan dengan persembahan tiga orang artis popular tanah air iaitu Ippo Hafiz, Azharina dan Tomok.

Sejajar dengan tema bulan kemerdekaan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, program itu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat terutamanya generasi muda tentang kepentingan puisi iaitu warisan Melayu yang boleh membawa kepada perubahan nilai masyarakat sejagat.

Selain itu, ia dapat memberi input tentang nilai-nilai kesusasteraan dan kebudayaan selain bagi merialisasikan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu dalam arus modenisasi dan globalisasi.

Majlis yang diadakan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke 60 tahun itu adalah anjuran bersama UKM dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Jabatan Penerangan Malaysia dan Kumpulan Utusan Malaysia.