Persidangan WALS 2022 Himpun Pakar Pendidikan Seluruh Dunia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 September 2022 – Persidangan Antarabangsa Kajian Pembelajaran 2022 (WALS2022) yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama The World Association of Lesson Studies telah menghimpunkan seramai 756 peserta dari 31 buah negara.

Persidangan itu diadakan dengan matlamat untuk mengekalkan amalan penyelidikan dan pengajaran serta menyediakan platform untuk kerjasama dalam kalangan guru dalam meningkatkan Komuniti Pembelajaran Profesional.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata selain daripada perkongsian ilmu di peringkat global, program itu membuka laluan kepada hubungan mesra antara institusi awam dan swasta di Malaysia dan antarabangsa.

“Persidangan ini diserikan dengan kehadiran dan sokongan pakar bidang dan peserta yang berminat yang saya pasti akan menghasilkan kerjasama yang bermakna, perkongsian pengetahuan, dan pertukaran idea.

“Salah satu elemen yang paling dinanti-nantikan di persidangan ini ialah peluang untuk berinteraksi dengan pelajar di sekolah yang terpilih dan melibatkan diri dalam pemerhatian bilik darjah sambil membuat refleksi tentang kajian pelajaran melalui saluran kelas terbuka,” katanya semasa menyampaikan ucapan Perasmian di Majlis Pembukaan Persidangan WALS 2022, di sini hari ini.

Beliau berkata UKM sentiasa bersama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan penekanan kepada SDG keempat iaitu Pendidikan Berkualiti.

“Semasa kita meneliti subtema persidangan ini, kita harus sedar bahawa penekanan diberikan pada kedua-dua aspek teori dan praktikal iaitu metodologi kajian, latihan guru, dan pembangunan profesional.

“Malaysia amat mementingkan pendidikan sebagai satu cara untuk menjadi sebuah negara maju untuk menghadapi cabaran dan permintaan ekonomi yang dipacu STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) seperti yang dicerminkan dalam pelan tindakan pendidikan negara 2013-2025, iaitu kita berada dalam gelombang terakhir.

“Di bawah program Pendidikan STEM kebangsaan, pelbagai projek telah dilaksanakan dengan matlamat utama untuk memupuk minat pelajar terhadap STEM,” katanya.

Katanya, selain STEM, beliau juga berbangga apabila pihak penganjur turut memasukkan perbincangan isu pendidikan khas dalam persidangan tersebut agar murid berkeperluan khas tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Salah satu fokus utama pendidikan khas ialah reka bentuk struktur pendidikan yang berpotensi untuk membantu kanak-kanak dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti,” ujarnya.

Tambahnya, persekitaran yang akomodatif dalam bilik darjah berkeperluan khas boleh mengurangkan diskriminasi dengan membolehkan kanak-kanak kurang upaya dapat membesar bersama.

“Ia membantu kanak-kanak berkeperluan khas untuk berkembang mengikut kadar pembelajaran mereka dari segi pertumbuhan fizikal dan mental.

“Dengan inisiatif ini, semua matlamat adalah selari dengan misi KPT iaitu untuk mengekalkan ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu dan memenuhi aspirasi negara.

“Saya gembira melihat Fakulti Pendidikan memainkan peranan yang aktif dalam membantu UKM menyokong misi tersebut,” katanya.