Perubahan Iklim dan Lautan Punca Banjir Luar Biasa


Oleh Azril Izzat Ramlan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Jun 2022 – Perubahan iklim dan peningkatan paras air laut merupakan antara faktor yang menyebabkan perilaku banjir masa kini berbeza yang berlaku tanpa mengira kawasan dan musim.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman berkata, skala fenomena banjir masa kini adalah sangat berbeza berbanding 20 atau 30 tahun yang lepas.

Menurutnya, perkara tersebut disusuli oleh fenomena garis badai yang telah menyebabkan insiden seperti hujan kerap berlaku terutamanya di sebelah pantai barat.

“Banjir yang tidak berlaku mengikut kelaziman musim dianggap sebagai suatu fenomena luar biasa. Banjir luar biasa ini semakin kerap berlaku dengan kadar magnitud yang cukup tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sebuah forum yang bertajuk ‘Bencana Banjir – Perspektif Pengurusan Sungai, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Malaysia’ anjuran Institut Perubahan Iklim (IPI) UKM.

Menyentuh berkenaan jangkaan masa hadapan berkaitan perubahan iklim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran, Ir. Hajah Bibi Zarina Che Omar, berkata kajian daripada Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mendapati bahawa perubahan iklim pada jangka panjang akan menyebabkan fenomena hujan yang sangat lebat dan meningkatkan kekerapan berlakunya banjir.

“Kejadian banjir luar biasa yang berlaku pada bulan Disember 2021 dan sehingga kini adalah ekoran daripada sistem cuaca daripada monsun timur laut yang telah bergerak ke arah barat daya sehingga melepasi banjaran Titiwangsa,” tambahnya.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, pengurusan bencana banjir dan langkah mitigasi untuk mengelakkan fenomena banjir juga perlu dilaksanakan.

Jelasnya, pihak kementerian sedang melaksanakan konsep pengurusan banjir secara hybrid iaitu gabungan konsep aliran laju (rapid disposal) dan kawalan di punca (control at source).

“Kami dalam proses untuk merangka dan menggubal satu akta yang dipanggil Akta Adaptasi Perubahan Iklim untuk mengelak implikasi lebih teruk,” katanya.

Pada majlis yang sama, Pusat Pengurusan Alam Sekitar yang ditubuhkan di bawah Institut Perubahan Iklim turut diperkenalkan dan berfungsi sebagai pusat khidmat nasihat dan sumber rujukan utama pihak kerajaan bagi menangani isu berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berterima kasih kepada pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) atas peruntukan dana yang disumbangkan selain memberi kepercayaan kepada IPI dan UKM.

“Saya pasti pusat ini sangat penting untuk mempertingkatkan lagi data berkaitan air terutamanya dari segi perisiannya,” katanya.