Peruntukan Tambahan Untuk Universiti Yang Tingkatkan Produktiviti – PM

More Allocations For Productive Universities – PM1Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 7 April 2015 – Universiti Awam perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan jika mahu peruntukan tambahan dari kerajaan.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata setiap universiti perlu menekankan soal produktiviti dan kecekapan terutama dalam memastikan kebolehpasaran graduan.

“Kita tekankan soal produktiviti danefficiency. Maknanya kalau nak bajet tambahan mesti tunjuk produktiviti danefficiency yang lebih baik,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) di sini hari ini.

Najib berkata kerajaan menyediakan peruntukan sewajarnya untuk perbelanjaan pendidikan tinggi dan latihan yang merupakan antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, Najib berkata PPPM-PT bukan sekadar pelan pendidikan semata-mata tetapi merupakan hala tuju baru untuk pendidikan Malaysia.

“Saya amat tertarik kepada perkara-perkara utama yang terdapat dalam PPPM-PT. 10 lonjakan yang nak dicapai, lima aspirasi sistem yang dijadikan sebagai objektif pelaksanaannya dan tumpuan kepada ciri-ciri pelajar itu sendiri,” katanya.

Menurut beliau pelan yang menggariskan 10 lonjakan itu mampu mewujudkan modal insan yang dapat dikategorikan sebagai 3B iaitu berbakat, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.

“Yang pertama adalah bakat. PPPM-PT menumpukan kepada penjanaan pelajar berbakat bagi mengekalkan kejayaan sesebuah negara,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan sentiasa berusaha untuk melahirkan pelajar yang bertaraf global kerana melalui itu ia akan menempatkan Malaysia diantara sebuah negara terbaik dunia.

Katanya pelajar yang berteraskan nilai positif perlu menggunakan ilmu ke arah kebaikan, bukan sebaliknya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Putrajaya yang akan diterajui beliau sendiri bagi memastikan visi dan hala tuju PPPM-PT tercapai.

Muhyiddin menerangkan Program Transformasi Universiti yang berdasarkan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan juga akan dilancarkan tidak lama lagi.

Kejayaan pelan itu bergantung kepada komitmen semua pihak untuk melaksanakannya dan beberapa siri pembabitan bersama pihak-pihak berkepentingan , terutamanya kumpulan pelaksana,  akan terus dirancakkan lagi selepas ini, tambah beliau.