Petua Mengenai Menulis Kertas Penyelidikan Untuk Diterbitkan

Tips On How To Get Your Research Papers PublishedOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 14 Mei 2015 – Pelajar pasca siswazah perlu berterus terang dan awal-awal lagi menjelaskan hasil kajian dan hasrat mereka apabila menulis kertas penyelidikan.

Salah seorang ahli akademik perniagaan yang paling terkenal di Scotland Prof. Dr. Ben Jacobsen, Profesor Pasaran Kewangan di Universiti Edinburgh, Britain, berkata elakkan daripada menulis laporan yang  panjang dan berbelit-belit yang hanya membosankan editor jurnal.

Penyelidikan yang baik harus menjadi mudah – lagi mudah lagi baik, kata  Prof Jacobsen pada syarahan awam beliau mengenai cara-cara menulis kertas penyelidikan yang menarik, yang dianjurkan oleh Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

“Jadikan ia ringkas dan mudah, K-I-S-S,” kata Prof Jacobsen.

Beliau berkata penyelidik harus cuba menarik perhatian penyunting jurnal atau penerbit dengan menyatakan dalam tajuk intipati usaha  atau penemuan mereka, jelas Prof Jacobsen.

Beliauyang menyandang kursi Yayasan Tun Ismail Ali, YTI-UKM, mengingatkan penyelidik supaya tidak menggunakan ayat yang panjang dan rumit yang akan mengelirukan sesiapa sahaja, termasuk editor jurnal  yang memeriksa kertas mereka.

“Saya akan mengatakan bahawa jika anda mahu menulis, lakukan sesuatu yang budak berusia 13 tahun pun boleh memahami. Penerbit tidak akan kagum dengan sebutan-sebutan yang rumit. Elakkan daripada menggunakan ayat-ayat panjang jika maksud yang sama boleh ditunjukkan dengan kata-kata yang lebih mudah dan ayat pendek,”  katanya.

Beliau menasihatkan penulis supaya menerangkan usaha mereka sejak  awal lagi; dalam bentuk tajuk dan abstrak mereka kerana editor tidak suka membaca laporan yang panjang bagi mencari keputusan si penulis itu.

“Tajuk yang baik boleh menjadi satu alat yang sangat berkuasa. Dalam abstrak jelaskan hasil kajian anda.

“Jika tajuk penyelidikan itu menerangkan dengan jelas apa yang penulis ingin mengatakan, tidak perlu menulis kesimpulan (conclusion),”  katanya.

Menurut Prof Jacobsen, beliau sendiri telah membuat kesilapan itu pada masa lalu tetapi kini berwaspada.

“Jika saya mengetahui 20 tahun yang lalu apa yang saya tahu sekarang, saya dapat menjimat banyak masa dan wang. Banyak kertas saya ditolak kerana laporan saya kurang meyakinkan,” jelas beliau.

Mereka yang menulis laporan panjang lebar kemungkinan akan ditolak  oleh penerbit berprestij.

“Penerbitan berindeks menolak banyak kertas yang baik. Dalam jurnal kewangan hanya 5% daripada semua  kertas yang diserahkan berjaya diterbitkan. Jangan hairan kalau anda punya ditolak,” ujar Prof Jacobsen.

Beliau mengingatkan pelajar supaya tidak menimbulkan terlalu banyak soalan dalam satu kertas,  dan tumpukan kepada hanya satu isu.

Antara nasihat beliau yang lain:

  1. Tuliskan soalan kajian anda dalam satu ayat.
  2. Kurangkan buat andaian; biarkan orang lain membuat andaian untuk anda.
  3. Berhati-hati dengan proksi dan konsep; lagi kurang korelasi yang didapati bagi apa yang anda mahu mengukur, lagi banyak proksi diperlukan.
  4. Buat kajian mengenai sesuatu yang orang ramai berminat.
  5. Buat kajian mengenai sesuatu yang berkaitan dengan beberapa kertas yang berjaya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa seperti usaha lain, nasib juga penting untuk meraih kejayaan.