PM Lancar Buku No Wrong Door: The Story of Sidek Hassan, Terbitan Penerbit UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2018 –  Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melancarkan buku terbitan Penerbit UKM iaitu No Wrong Door: The Story of Sidek Hassan di Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buku hasil nukilan Dr Rokiah Talib itu menceritakan perjalanan kehidupan dan pengalaman Tan Sri Sidek Hassan sebagai mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam pentadbiran dan governen negara.

Dato’ Seri Mohd Najib dalam ucapannya berkata, Tan Sri Sidek adalah seorang yang sangat dedikasi sepanjang menjalankan tugas dalam perkhidmatan kerajaan.

“Secara peribadi saya amat menghormati dan menyanjung tinggi Tan Sri Sidek sewaktu beliau menjadi Ketua Setiausaha Negara mahupun seorang individu.  Beliau bukan  hanya seorang KSN yang berwibawa, malah beliau juga seorang individu yang hebat.  Saya mengingati jasa beliau apabila berjaya melonjakkan negara dalam senarai Destinasi Mudah Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia pada tahun 2007 hingga 2013,” katanya.

Beliau berkata, buku tersebut juga boleh menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa kemiskinan bukan halangan untuk berjaya.

“Ini terbukti apabila Tan Sri Sidek, anak yatim dari sebuah keluarga susah di Kampung Cherok Paloh, Pahang berjaya menjawat jawatan tertinggi kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Negara,” jelas beliau.

Sementara itu, Tan Sri Sidek berharap rakan-rakan yang masih berkhidmat dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam perkhidmatan awam.

“Bagi saya pegawai yang berkuasa adalah pegawai yang boleh memudahkan urusan, bukan sebaliknya. Mengikut kelaziman, adalah lebih mudah untuk menyusahkan dan lebih susah untuk memudahkan. Tetapi saya yakin ini boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja dengan syarat mereka memikirkan apa yang mereka mahukan demi kelancaran perkhidmatan,” katanya.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM melalui Penerbit UKM amat berbangga dan bertuah kerana diberi penghormatan menerbitkan buku biografi seorang tokoh dalam perkhidmatan awam.

Katanya, idea penulisan buku ini dicetuskan sejak tahun 2012 lagi dan hari ini ianya menjadi realiti dengan hasil nukilan Dr Rokiah Talib yang sentiasa kritis dalam menggarap pengalaman dan kisah hidup Tan Sri Sidek.