PNGK Bersepadu Untuk Nilai Pelajar Secara Keseluruhan

Integrated CGPA To Evaluate Overall Performance Of StudentsOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto ikhwan Hashim

BANGI, 8 April 2015 – Malaysia mungkin negara pertama yang melaksanakan sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Bersepadu atau  Integrated CGPA untuk mengukur prestasi pelajar universiti secara keseluruhan dan bukan hanya pencapaian akademik.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata untuk melahirkan graduan yang holistik, pencapaian mereka harus diukur secara keseluruhannya termasuk penglibatan mereka dalam aktiviti kurikulum, pembabitan masyarakat, kesukarelawanan, kepimpinan dan kerohanian.

Ketika merasmikan Ekspo Kerjaya UKM 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, Idris menjelaskan terdapat kelemahan dalam penilaian semasa yang semata-mata berdasarkan pencapaian akademik.

Namun demikian Idris menegaskan PNGK Bersepadu perlu diteliti dahulu sebelum dilaksanakan pada peringkat universiti.

“Kita belum mendapat acuan yang sebaiknya tetapi  universiti  sedang mencari cara terbaik untuk mengukur pencapaian pelajar.

“Pelaksanaan CGPA bersepadu hanya akan dijalankan dalam masa dua atau tiga tahun lagi…mungkin lebih awal. Namun kita tidak mahu gopoh kerana hendak memberi masa untuk menjalani ujian sebelum pelaksanaan,” beliau menerangkan.

Ia mesti diterima dahulu oleh semua pihak.

“Kami mahu satu sistem penilaian yang sesuai dan boleh diterima oleh ahli akademik dan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, pelajar tidak lagi hanya dinilai pada segi akademik dan kokurikulum semata-mata, malah sahsiah dan sosial pelajar sepanjang tempoh pengajian turut diambil kira .

Pihak pengurusan universiti juga telah diminta membuat analisis bagi mengukur keberkesannya sebelum ia dilaksanakan. Buat masa ini, pencapaian pelajar hanya di ukur berdasarkan kecemerlangan akademik yang berpandukan keputusan ujian atau peperiksaan.

Ekspo Kerjaya UKM 2015, program dua hari bertemakan ‘Rebut Peluang, Capai Impian’ yang berakhir hari ini, bermatlamat memberi peluang kepada para graduan mendapatkan maklumat terkini mengenai keperluan dan peluang pekerjaan secara terus daripada pihak majikan.