Pokok Sambung Nyawa Bantu Atasi Masalah Ketidaksuburan Akibat Diabetes


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Oktober 2020 – Pokok herba Sambung Nyawa atau nama saintifiknya Gynura procumbens telah dikenalpasti sebagai tanaman herba yang dapat mengatasi masalah ketidaksuburan akibat diabetes.

Ini telah dibuktikan melalui kajian pre-klinikal yang dilakukan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Mahanem Mat Noor bersama pasukannya. 

Prof. Madya Dr. Mahanem berkata kajian yang dilakukan itu adalah kesinambungan daripada kajian Prof. Madya Dr. Halimah Abdullah Sani yang membuat kajian tentang kesan Gynura procumbens ke atas haiwan model aruhan diabetes.

 “Diabetes adalah salah satu faktor penyebab kepada masalah ketidaksuburan dan libido (kemampuan seksual) pada lelaki. 

“Terbukti penyediaan ekstrak herba ini bukan sahaja menurunkan paras glukosa darah bahkan juga mampu memperbaiki parameter kualiti sperma, paras hormon pembiakan seterusnya meningkatkan kesuburan dan kelakuan seksual haiwan diabetes berbanding yang tanpa rawatan,” ujarnya.

Katanya, beliau pernah menggunakan pokok herba yang lain seperti hempedu bumi dan peria katak, tetapi herba-herba tersebut menyebabkan kemerosotan kesuburan yang signifikan.

“Kajian mendapati hempedu bumi dan peria katak telah mematikan sperma serta menjejaskan bilangan sperma yang dihasilkan sedangkan herba tersebut sering digunakan secara tradisional sebagai rawatan alternatif diabetes. 

“Oleh itu saya menasihatkan pengamal rawatan herba agar lebih berhati-hati dalam mengambil herba ubatan sebagai rawatan alternatif,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangan Perjanjian Perlesenan antara UKM Technology Sdn. Bhd. dengan MZ Herbs and Resources dan Pelancaran Produk Gyinulin™, baru-baru ini. 

“Selain mengkaji keberkesanan herba Gynura procumbens, kita juga menyedari tentang kepentingan kajian ketoksikan. Kumpulan kami melakukan kajian daripada segi creatinine level (tahap kreatinin) untuk melihat kefungsian buah pinggang dan enzim yang terlibat dalam kefungsian hati disamping kajian histologi sel dan tisu buah pinggang dan hati. 

“Setelah merujuk kepada pakar anatomi Fakulti Perubatan UKM, ternyata hasil penyediaan ekstrak mampu memperbaiki sel dan tisu hati dan ginjal haiwan aruhan diabetes yang dikaji,” katanya. 

Kini, penyelidikan herba terhadap masalah diabetes dan ketidaksuburan tersebut telah dikomersialkan dengan pengeluaran minuman kesihatan Gynulin™ iaitu perkataan ‘Gynu’ adalah dari tumbuhan Gynura dan perkataan ‘lin’ adalah daripada perkataan insulin dimana mekanisme tindakannya yang menyerupai insulin (insulin mimic).

Produk itu juga telah difail-patenkan pada tahun 2017 (PI 2017000028) serta memperoleh tanda dagangan untuk jenama Gynulin™ (TM 2019019019) pada tahun 2019.

Pada peringkat awal, produk ini diuruskan dan dijual oleh UKM Technology Sdn. Bhd. sebelum dilesenkan kepada syarikat MZ Herbs & Resources Sdn Bhd untuk urusan pembuatan dan pemasaran.