PPCU UKM Peroleh Tajaan Pembiayaan Pertama


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan hashim

BANGI, 19 Januari 2023 – Pusat Pengajian Citra Universiti (PPCU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapat penajaan pembiayaan pelajaran yang pertama pelajar Sarjana Sains Citra oleh Ino Nature Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat yang mempunyai lebih daripada 16 tahun pengalaman dalam perniagaan pembuatan baja Bio Semi-Organic.

Dalam majlis yang sama, Alumni UKM, Dato’ Lee Mok Foong yang juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pengajian Citra Universiti dan Prof. Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, turut bersetuju untuk menempatkan pelajar Sarjana Sains Citra, buat julung kali di Trans Eco Farm Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Sky Ladder Pineapple Farm.

Timbalan Naib Canselor, Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata penglibatan pelbagai pihak terutamanya dari segi tajaan biasiswa dan sangkutan industri melalui pelantikan penyelia industri akan memanfaatkan pelajar program ini.

“Dengan wujudnya inisiatif seperti ini melalui kerjasama dengan pelbagai pihak akan menjadi titik permulaan yang membolehkan pelajar program ini sentiasa memperolehi pembelajaran melalui pengalaman yang terkini menerusi ruang pembelajaran futuristik termasuk dari segi penggunaan teknologi digital terkini.

“Peluang ini sememangnya mampu membuka ruang kepada para pelajar untuk melanjutkan pelajaran di samping meneroka pengalaman dan kemahiran secara realistik apabila terlibat dalam industri,” katanya.

Sains Citra (Liberal Studies) adalah program yang diwujudkan bagi menyambut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) untuk mengetengahkan pengajian umum yang bersifat merentas dan pelbagai disiplin ilmu bagi memperlihatkan kesepaduan pelbagai latar ilmu dalam pengajian.

PPCU telah berjaya menawarkan Program Sarjana Sains Citra bermula Sesi 2022/2023 setelah Program Sarjana Muda Sains Citra diperkenalkan pada Sesi 2018/2019.

Program Sarjana Sains Citra bertujuan meneroka gabungan bidang/disiplin Sains, Teknologi, Kemanusiaan dan Sains Sosial bagi menghasilkan kajian yang memberikan sumbangan baharu dan memenuhi keperluan/tuntutan semasa pihak berkepentingan seperti industri, agensi kerajaan dan komuniti.