PPUKM Hospital Universiti Pertama Mempunyai Mesin CT Scan Tercanggih


Oleh Asmhanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 19 September 2017 –Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) adalah hospital universiti pertama di Malaysia yang mempunyai dua buah mesin CT Scan tercanggih dengan teknologi tomografi berkomputer iaitu  Aquilion One dan Aquilion Prime.

Ketua Jabatan Radiologi, Prof Dr Hamzaini Abdul Hamid berkata mesin CT Scan Toshiba Aquilion One yang berkeupayaan 640 slice dan Aquilion Prime mempunyai 160 slice, bakal memberi impak yang tinggi dalam rawatan pesakit dengan menghasilkan imej tomografi berkomputer yang canggih.

“CT Scan Aquilion One 640 slice ini berupaya membuat satu Volume Scan sepantas 0.35 saat untuk satu rotasi bagi sesetengah pemeriksaan.

“Semua jenis pemeriksaan CT Scan dapat dilakukan dengan menggunakan mesin ini,” katanya pada Majlis Perasmian kedua-dua mesin tersebut dan Majlis Mendatangani Memorandum Persefahaman antara UKM dan Toshiba Medical System Malaysia Sdn Bhd, di sini.

Beliau berkata kedua-dua mesin itu juga dapat membuat pemeriksaan khusus termasuklah pemeriksaan CT Brain Perfusion untuk kes strok, CTA Coronary untuk melihat salur darah dalam jantung, CT Colonography untuk melihat 3D dari dalam saluran darah dan banyak lagi pemeriksaan lain.

“Teknologi komputer yang terkini ini dapat mengurangkan dos radiasi ke tahap yang paling minimum tanpa menjejaskan kualiti imej yang di diagnos.

“Ini akan memberi impak yang sangat tinggi kepada pesakit terutama sekali pesakit kanak-kanak dengan keupayaan pemeriksaan yang sangat singkat yang akhirnya akan mengurangkan dos radiasi kepada pesakit tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Toshiba Medical System Malaysia Sdn Bhd, Tan Tuan Shee berkata pemilihan PPUKM sebagai hospital penerima mesin CT Scan tersebut adalah disebabkan oleh reputasi baik Pusat Perubatan tersebut dalam penyelidikan dan perkhidmatan.

“Toshiba merancang untuk mewujudkan pusat latihan Radiologi di PPUKM,  memandangkan PPUKM menggunakan sistem yang telah kami sediakan.

“Latihan Klinikal CT Scan bukannya mudah, tetapi PPUKM mempunyai kepakaran tersebut dan disebabkan itulah kami memilih PPUKM untuk menajadi Pusat Latihan, yang bukan sahaja bakal melatih ahli-ahli Radiologi dari Malaysia tetapi juga di seluruh rantau Asia,” katanya.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Induistri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan Pengarah HCTM, Prof Dr Zaleha Abdullah Mahdy.