PPV Bergerak HCTM Jelajah Seri Menanti, Beri Vaksin Kepada Penduduk


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman & Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Ogos 2021 – Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus menabur bakti di Seri Menanti, Negeri Sembilan bagi memberi vaksin COVID-19 kepada penduduk di kawasan tersebut.

Seri Menanti adalah Kawasan kedua yang dijelajah oleh pasukan PPVB HCTM selepas mereka ke Parit Sulong, Johor pada bulan Jun yang lepas.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata program itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang diberikan oleh pihak UKM khususnya HCTM bagi memastikan seluruh masyarat terutamanya masyarakat di Negeri Sembilan menerima vaksin sepenuhnya sebagai memenuhi hasrat kerajaan bagi melaksanakan imuniti berkelompok.

“PPVB HCTM berada di Seri Menanti selama lima hari iaitu bermula 26 hingga 30 Julai. Kami mensasarkan sepanjang lima hari ini, seramai 2,500 penduduk di Kawasan ini akan menerima suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata PPVB itu bukan sahaja mensasarkan penduduk di kawasan itu yang datang ke pusat pemberian vaksin di Seri Menanti Resort, tetapi pasukan itu turut pergi dari rumah ke rumah bagi memberi suntikan vaksin kepada warga emas yang terlantar, golongan OKU yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke PPV.

“Bagi yang berkerusi roda, kita juga menyantuni mereka dan bagi yang uzur dan tidak boleh keluar dari kereta, kita akan beri suntikan di dalam kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malasyia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya di Facebook berkata PPVB di bawah Program Inumisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tersebut menyediakan akses yang lebih luas kepada masyarakat di luar bandar untuk mendapatkan vaksin.

“Fokusnya adalah kepada mereka yang masih belum mendaftar untuk vaksinasi di bawah PICK atau belum menerima tarikh temujanji melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Seramai 25 kakitangan yang terdiri daripada lima orang doktor, 13 orang jururawat dan enam orang pegawai HCTM telah ditugaskan bagi melancarkan proses pemberian vaksin di kawasan tersebut

PPVB HCTM turut menerima kunjungan daripada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM.