Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Toriman Alumni Pertama UKM dilantik Sebagai Naib Canselor UKM

Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Januari 2021 – Buat pertama kalinya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima alumninya sebagai Naib Canselor ke-12 universiti itu berkuat kuasa 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Toriman ialah graduan UKM pada 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (MSc) di University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.

Beliau yang pernah memegangan jawatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, berazam untuk meneruskan legasi kecemerlangan universiti ini yang telah dipimpin oleh 11 orang Naib Canselor yang hebat.

“Saya bertuah kerana saya mewarisi sebuah universiti yang telah pun dibangunkan dengan rasa cinta oleh mantan Naib Canselor yang terdahulu.

“Saya adalah produk dari tujuh Naib Canselor (UKM). Terima kasih kepada semua Naib Canselor yang telah membangunkan univeriti yang dicintai ini.

“Saya akan menerusksan kecemerlangan universiti ini. Universiti ini lahir dari kesedaran untuk membangunkan anak bangsa tanpa mengira kaum. Universiti ini menyatupadukan iman dan amal serta bertekad untuk menjadi universiti yang terkehadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Naib Canselor UKM Ke-12, di sini.

Katanya, misi dan visi UKM selepas ini semakin mencabar. Beliau berharap dengan kerjasama semua warga UKM hal ini dapat diperkasakan.

“Di universiti inilah saya membina kematangan dan keyakinan diri, dan di sini juga saya membangunkan pemikiran. Semua inilah yang menjadi tonggak yang membolehkan kita berbakti kepada negara dan bangsa,” katanya yang akan meneruskan pelan startegik 2015-2025 yang telah dibangunkan oleh Naib Canselor ke-10, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar berkata pelantikan Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan, yang juga merupakan alumni UKM diharap dapat memastikan semangat kekitaan dalam kalangan warga UKM akan terus dipertingkatkan.

“Sebagai alumni yang lahir dari universiti ini, saya yakin Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan akan terus memperkukuhkan tunjang dan asas penubuhan universiti kebangsaan ini.

“Dengan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan akademik, selama lebih 20 tahun perkhidmatan di UKM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan diharapkan akan terus memacu kecemerlangan UKM yang dilakar sebelum ini,” katanya.

Katanya, walaupun pemimpin silih berganti, namun kecemerlangan dan kejayaan UKM pada hari ini dalam bidang pendidikan tinggi dan perkembangan ilmu untuk membangun anak bangsa, agama dan negara perlu diteruskan.