Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, TNC HEPI UKM yang Baharu


Berita dan foto oleh Pusat komunikasi Korporat

BANGI, 27 Mei 2019 – Mantan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi  (HEPI) yang baharu, menggantikan Prof Dato’ Dr Mohd Ekhwan Toriman, yang berakhir pelantikan pada 26 Mei 2019.

Pelantikan Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab adalah melalui surat daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di bawah peruntukan Seksyen 12(6) Perlembagaan UKM untuk tempoh tiga tahun, bermulai 27 Mei 2019 hingga 26 Mei 2022.

Anak kelahiran Sungai Seluang, Lunas, Kulim, Kedah Darul Aman itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Lehigh University, Bethlehem, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada tahun 1989, sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat tahun 1991 dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Kimia dari University of Wales Swansea, United Kingdom pada tahun 1998.

Sepanjang perkhidmatannya di UKM, beliau telah memegang beberapa jawatan penting termasuklah Pengarah Pusat Kejuruteraan Termaju (2005-2007), Pengarah Pejabat Hubungan Industri (2009-2010) dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (2014-2018).

Kepakaran beliau yang mendalam dalam bidang Teknologi Membran dan Pemisahan, Rawatan Air dan Air Buangan, serta Nanoteknologi Dalam Proses Pemisahan, beliau telah disunting oleh Qatar Energy and Environment Research Institute, Doha, Qatar sebagai Pengarah Penyelidikan Kanan selama tiga bulan bermula 24 Mac 2018 hingga 25 Julai 2018.

Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab juga turut dilantik dalam beberapa jawatan profesional di luar UKM seperti Ahli Korporat, Institut Jurutera Malaysia, Felo Institut Jurutera Kimia dan Felo Akademi Sains Malaysia. Beliau juga adalah Editor Journal of Water Process Engineering (Elsevier UK) sejak 2014 hingga kini, Panel Penilai Akreditasi Program Kejuruteraan di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (2003 hingga kini) dan Penilai Luar Program Kejuruteraan di 10 universiti termasuk awam dan swasta.

Beliau juga adalah Jurutera Profesional dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan Jurutera Berdaftar dengan Majlis Kejuruteraan, United Kingdom.

Kecemerlangannya dalam penyelidikan telah membolehkan beliau diberikan beberapa anugerah seperti Hadiah Antarabangsa Kajian Air Prince Sultan (Saudi Arabia) (2008) dan Hadiah Sains Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF) (2015).