Profesor Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin: Sarjana Tersohor dalam Bidang Teknologi Pembelajaran dan Inovasi


BANGI, 1 September 2021-
Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Indsutri, Alumni & Masyarakat) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkuat kuasa 1 September 2021, menggantikan Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah yang telah tamat tempoh pelantikan pada 31 Ogos 2021.

Berasal dari Pekan, Pahang, beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Matematik) dari Florida State University, Amerika Syarikat (1985), sebelum melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana (Matematik) dari California State University, Amerika Syarikat (1987).

Beliau juga memperolehi Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1989. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di peringkat kedoktoran di UKM dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Sains Maklumat) pada tahun 2003.

Sumbangan kepada UKM

Sepanjang perkhidmatan di UKM, beliau telah menyandang pelbagai jawatan pentadbiran. Antaranya ialah Dekan Fakulti Pendidikan yang disandang selama lebih daripada lima tahun. Selain itu, beliau juga pernah bergelar Timbalan Dekan Akademik, Timbalan Dekan Siswazah, Timbalan Pengarah Teknologi Pembelajaran dan Ketua Program Pasca Siswazah.

Beliau telah berjaya memacu kecemerlangan Fakulti Pendidikan UKM berlandaskan konsep kepimpinan transformasional seperti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, inovasi dan kolaborasi strategik bersama industri, komuniti dan alumni. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Malaysia (MEDC).

Kejayaan Antarabangsa

Kejayaan beliau juga telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dilantik sebagai ahli Majlis Universiti untuk Hub Pembelajaran Sepanjang Hayat Asia-Europe Meeting (ASEM) (ASEM University Council Member), beliau mewakili Malaysia bagi Rangkaian Penyelidikan 1 iaitu Pembangunan Kemahiran ICT, e-pembelajaran dan Budaya e-Pembelajaran dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat bersama ahli ASEM dari Korea, Jepun, India, Thailand, Filipina, United Kingdom, Finland, Austria, Bulgaria, Sepanyol dan Denmark.

Dalam bidang penyelidikan, beliau mengetuai banyak projek di peringkat  antarabangsa. Projek Ruang Pembelajaran Aktif Pengajian Tinggi (Higher Education Active Learning Spaces (HEALS) adalah sebuah projek penyelidikan kolaboratif antara Universiti Penyelidikan Malaysia (UKM, UM & UTM) dengan Jaringan Universiti Inovatif Australia (La Trobe University dan James Cook University). Hasil penyelidikan dari projek ini telah berjaya membangunkan kerangka bagi ruang pembelajaran aktif berasaskan pedagogi serta ruang dan teknologi, yang sesuai digunakan oleh semua institusi pendidikan di dalam dan luar negara.

Terkini, Google Education juga telah mengiktiraf kepakaran beliau dalam bidang pendigitalan pendidikan. Beliau akan mewakili Malaysia serta mengetuai penyelidikan mengenai aplikasi Google Solution untuk pendidikan rakyat Malaysia.

Sebagai ahli International Association for Blended Learning (IABL) pula, beliau menyumbang secara aktif sebagai pakar rujuk mewakili Asia Tenggara dan berjaya membangunkan kertas polisi pertama di dunia berkaitan pembelajaran teradun, iaitu IABL Dubai Declaration: Blended Learning 2025.

Beliau kini merupakan ahli Persatuan Penyelidikan Pendidikan Amerika (AERA). Atas kewibawaan yang ditunjukkan, beliau telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarang bagi Internet and Higher Education Journal, yang bertaraf Quartile One (Q1), dalam indeks Web of Science Social Science Citation Indeks (WoS SSCI). Malah, beliau juga pernah mengetuai jalinan kerjasama dengan Jyvaskyla University, Finland bagi meneroka pelbagai reka bentuk sistem pendidikan yang digunakan di negara-negara Eropah.

Jalinan Bersama Industri dan Masyarakat

Kehebatan beliau juga turut terbukti melalui penglibatan serta kerjasama dengan pihak industri. Beliau menjadi peneraju kepada Projek e-Kelas bersama Maxis Berhad dalam pembentukan platform pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang berimpak bagi pelajar B40 yang dikenali sebagai Maxis eKelas #CikguCikguUKM. Selain itu, sejak tahun 2016, beliau telah mengetuai kolaborasi strategik bersama Apple dengan projek 1-1 Ipad untuk pensyarah.

Bagi memantapkan bidang STEM bersama komuniti pendidik dan pelajar, beliau juga telah menaungi Projek Bitara STEM dengan kolaborasi strategik bersama pihak industri tempatan dan antarabangsa seperti ExxonMobil dan Tabung Haji.

Beliau turut dilantik sebagai  Penasihat bagi Akademi Menara Gading di bawah naungan Yayasan Al-Sultan Abdullah. Akademi ini bertujuan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan pelajar dalam kalangan B40, anak yatim dan orang Asli negeri Pahang. Selain itu, beliau juga merupakan Penasihat Projek Komuniti UKM 360 dengan komuniti Pulau Manis, Pekan, Pahang, yang telah membantu pembangunan sosial komuniti dengan kejayaan pelaksanaan Program Pelajar Gemilang, Guru Cemerlang dan Ibu Bapa Penjaga Sejahtera.

Pembangunan aspek keusahawanan komuniti belia B40 juga mendapat perhatian. Beliau mengetuai projek ‘Pembangunan Modul Belia B40 Berasaskan Inovasi dan Transdisiplinari untuk Pemikir Masa Depan’ untuk Kursus Permulaan Perniagaan. Hasilnya, sebuah modul pembelajaran atas talian telah dilaksanakan melalui Massive Open Online Courses (MOOC). Projek ini telah dibiayai sepenuhnya oleh dana penyelidikan Arus Perdana UKM yang beliau ketuai; dan akhirnya terpilih sebagai Projek Gegar Gamat UKM.

Beliau turut menyantuni komuniti OKU. Projek pembangunan MOOC dan Reka Bentuk Pembelajaran dalam Revolusi Industri ke-4 dan Inovasi Pembelajaran Lintas-Kreatif 4IR telah menghasilkan satu modul pembelajaran tentang kanak-kanak autisme melalui dana Rakan-MRUN.

Kebitaraan melalui Penerbitan

Sebagai ahli akademik, beliau telah menerbitkan lebih daripada 300 artikel dalam jurnal terindeks, menerbitkan 20 buah buku penyelidikan dan 50 bab dalam buku. Beliau juga telah membentang dalam 80 persidangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai penceramah jemputan dan pengucaptama.

Manakala sebagai pengasas kepada pelbagai aktiviti inovasi dalam pendidikan yang tersohor, kepakaran Profesor Dato’ Dr. Norazah Nordin juga telah diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui pelbagai anugerah inovasi yang pernah beliau menangi.