Program Climate Action Festival@UKM beri Kesedaran Tentang Kepetingan Ilmu Kelestarian


Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 10 Mac 2022 Kursi Kelestarian UKM-YSD, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Institut Perubahan Iklim (IPI), Pusat Strategi, Kursi Endowmen MPOB-UKM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menganjurkan program Climate Action Festival@UKM dan Pelancaran Sistem Pangkalan Data MyIKLIM bagi memberi kesedaran, pendidikan dan menyebarkan ilmu  kepentingan perubahan iklim dan kelestarian sawit kepada industri dan masyarakat.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata program ini dapat membantu usaha kerajaan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

“Climate Action Festival@UKM juga akan memberi impak Quadruple Helix kerana ia melibatkan Universiti, Pensyarah dan mahasiswa serta komuniti setempat termasuk pelajar sekolah dan industri seperti Yayasan Sime Darby (YSD), ANGKASA dan lain-lain” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Program Climate Action Festival@UKM di sini, hari ini.

Beliau berkata program tersebut adalah selari dengan hasrat UKM yang berperanan untuk menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakatnya.

Sementara itu, wakil Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata bagi menyahut misi “Climate Action”, banyak kerangka yang boleh dirujuk dan digunapakai seperti Protokol Kyoto dan Corsia yang menfokuskan  kearah pengurangan gas-gas rumah kaca.

Pada majlis itu, Pengerusi Yayasan Sime Darby, Y.A.M Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkenan merasmikan dan melancarkan pangkalan data MyIKLIM-One-Stop Data Curation Portal for Climate Change Research in Malaysia yang sedang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik Bidang Tujahan Mitigasi perubahan Iklim di bawah Kursi Kelestarian UKM-YSD.

Selain itu, pelbagai aktiviti turut diadakan dengan kerjasama Alam Flora seperti pengumpulan dan jualan barangan kitar semula di kawasan tempat letak kenderaan Dewan Canselor Tun Abul Razak (DECTAR).  Program itu memberi ruang kepada kakitangan, pelajar UKM dan orang awam untuk menjalankan aktiviti kitar semula dan satu usaha yang amat baik dalam membantu mengekalkan kelestarian disamping dapat memupuk budaya kitar semula dikalangan masyarakat.

Hadir sama ke program ini ialah Tan Sri Dato’ Seri Dr. Salleh Mohd Nor, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Saintifik Kursi Kelestarian UKM-YSD; Dr. Hajah Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby dan Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.