Program GENIUS@Pintar Negara Boleh Lahirkan Nobel Laureates


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

SEREMBAN, 3 Mei 2021 – Program GENIUS@Pintar Negara yang dikendalikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM melalui Kolej GENIUS@Pintar Negara dan Pusat GENIUS@Pintar Negara boleh melahirkan Nobel Laureates Malaysia suatu hari nanti, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Dato’ Dr. Mah Hang Soon.

Beliau berkata program itu yang memfokuskan kepada murid pintar dan berbakat telah melalui pemilihan yang ketat bagi mencari dan menggilap ‘permata negara’.

“Dari segi peratusan pemilihan murid, memang mereka ini adalah permata negara kerana daripada puluhan ribu yang memohon, hanya 0.02 peratus (%) sahaja yang dipilih untuk belajar disini,” katanya semasa menadakan Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pendidikan II ke Kolej GENIUS@Pintar Negara, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata program GENIUS adalah platform yang mencungkil potensi dan menggilap bakat murid bagi menghasilkan generasi Malaysia ke tahap terkemuka dan membanggakan.

“Program ini dibangunkan dengan kepakaran dari Pusat GENIUS@Pintar Negara untuk menyediakan satu sistem pendidikan khusus, mencabar dan komprehensif bagi membantu murid pintar dan berbakat melonjakkan potensi ke tahap yang optimum, memupuk nobelist mindset, seterusnya menjadikan mereka aset negara yang bernilai,” katanya.

Katanya, beliau amat tertarik dengan program tersebut kerana golongan yang berbakat itu adalah sangat luar biasa, dan mereka itulah permata yang bersinar.

“Program ini adalah sesuatu yang sangat bermakna. Terima kasih kepada semua atas usaha mencari pelajar yang berbakat ini. Saya akan lihat semula dan berbincang dengan YB Menteri Pendidikan untuk melihat dan membantu apa yang perlu bagi meningkatkan lagi Program GENIUS@Pintar ini. We have to work from now to create Nobel Laureates di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat GENIUS@Pintar Negara, Prof. Madya Dr Rorlinda Yusof berkata pusat itu juga turut bekerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi menjayakan program baharu iaitu Digital Innovator untuk murid-murid pintar dan berbakat.

“Dengan pelaksanaan kerjasama ini, Kolej GENIUS@Pintar telah mempunyai dua aliran iaitu Aliran Sains Tulen dan Aliran Digital.

“Ini adalah pencapaian yang membanggakan dalam meneruskan usaha untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh,” katanya.

Kolej GENIUS@Pintar mempunyai dia kampus iaitu di UKM, Bangi dan di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban. Di Bangi, terdapat seramai 321 orang murid diperingkat Tahap 1 dan Tahap 2, manakala di kampus Seremban, terdapat seramai 188 orang murid di peringkat Asas 1 dan Asas 2.

Jumlah keseluruhan murid yang telah mengikuti pendidikan pintar dan berbakat dari Kolej GENIUS@Pintar Negara ini adalah 1,317 orang sejak kolej itu dibuka pada tahun 2011 sehingga 2020.

Ada diantara murid itu berada di universiti terbaik dunia seperti Stanford University, Cambridge University, Cornell University, University of Oxford dan ada yang telah berada dalam sektor pekerjaan.