Program iG-Home Inovasi Rumah Lestari Fasa 2 Satukan Enam Komponen Sains


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 Feb 2018 – Program iG-Home Inovasi Rumah Lestari yang melibatkan 30 buah sekolah akan diperkemaskan dengan penggunaan enam komponen sains dalam satu projek.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) merangkap Ketua Projek iG-Home, Shahrom Md Zain berkata, untuk fasa kedua, 17 buah sekolah telah dipilih bagi menjalankan projek-tersebur menggunakan enam komponen sains.

Enam komponen itu ialah pengasingan sisa pepejal dan amalan 3R rumah lestari, pengoposan sisa organik, biogas, sistem tuaian air hujan, bumbung hijau dan amalan hidup lestari serta bahan dan komponen binaan lestari.

Shahrom berkata, semasa projek fasa 1 dijalankan, 13 buah sekolah di Kedah yang terpilih hanya perlu memilih salah satu komponen daripada enam komponen itu untuk menghasilkan rumah lestari.

“Tetapi, kita dapati sekolah yang menang untuk projek itu telah menggunakan keenam-enam komponan dalam menghasilkan biogas dari sisa makanan. Justeru itu, fasa kedua, FKAB mencadangkan supaya sekolah-sekolah yang terpilih perlu menggunakan keenam-enam komponan tersebut untuk menghasilkan projek rumah lestari,” jelasnya pada sedang media selepas Majlis Pelancaran PINTAR-UKM Sustainability and Green Technology through IG-HOME Module Phase 2 2018, baru-baru ini.

Beliau berkata, program iG-Home itu hanya melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga sahaja kerana FKAB hendak memperkenalkan bidang sains kepada pelajar-pelajar menengah rendah bahawa bidang sains bukanlah bidang yang susah seperti yang mereka sangka.

Kebanyakan pelajar sekarang takut untuk memilih bidang sains apabila mereka masuk ke tingkatan empat kerana mereka merasakan bidang sains adalah bidang yang susah, jelas beliau.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Pro-Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustaffa.

Program iG-Home itu adalah kerjasama antara UKM dengan Yayasan Pintar dan mendapat geran daripada Yayasan Hasanah.

Pada fasa pertama yang dijalankan pada tahun lepas, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamed Al-Bukhary telah dinobatkan sebagai johan Projek iG-Home Rumah Lestari selepas menghasilkan biogas daripada sisa makanan.