Program Pengurangan Kesan Plastik Terhadap Alam Sekitar Melalui Modul 5R Latih Pelajar Sekolah Berinovasi


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

ALOR SETAR, 27 September 2022 – Program Pengurangan Kesan Plastik Terhadap Alam Sekitar Melalui Modul 5R (Tolak, Kurang, Guna Semula, Kitar Semula & Pulih) yang melibatkan 71 buah sekolah menengah di sekitar Negeri Kedah telah memberi peluang kepada pelajar menengah rendah berinovasi dalam mengurangkan kesan plastik terhadap alam sekitar.

Pendidikan kelestarian berfokuskan konsep 5R dengan integrasi ilmu STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) diperkenalkan melalui Modul 5R Plastik dan Kelestarian Alam Sekitar yang telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, dan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang diketuai oleh Dr. Muhamad Azry Khoiry.

Dr. Muhamad Azry berkata modul yang sarat dengan pengetahuan 5R dan amalan kelestarian disampaikan secara interaktif melalui infografik dan lakaran yang mudah difahami serta menarik, bersesuaian dengan pembaca dari semua peringkat umur.

“Modul ini telah digunakan di 71 buah sekolah menengah di Kedah yang mengambil bahagian dalam program ini bagi menghasilkan pelbagai inovasi dalam mengurangkan kesan plastik terhadap alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata program Pengurangan Kesan Plastik Terhadap Alam Sekitar Melalui Modul 5R yang diadakan kali ini adalah siri ketiga dan mendapat tajaan Yayasan Hasanah.

“Program ini melibatkan seramai 143 orang guru dan 2,130 orang pelajar sekolah menengah di negeri Kedah. Siri pertama adalah program Inovasi Rumah Lestari iG-Home pada tahun 2018 dan siri kedua adalah program Sustainable School Project: Recycle for Life pada tahun 2019.

“Pada tahun 2021, program kelestarian ini diperbaharui dengan penambahbaikan modul dan aktiviti kelestarian dan inovasi yang berfokuskan pengurangan sisa plastik melalui amalan 5R. Program ini berlangsung selama dua tahun iaitu Fasa 1 pada tahun 2022 dan Fasa 2 pada tahun 2023,” katanya.

Untuk edisi kali ini, katanya, rekod keseluruhan kutipan jualan barang kitar semula berjumlah 62,830 kilogram (kg) sepanjang tempoh empat bulan penganjuran program.

“Selain itu, 10 inovasi dipilih sebagai finalis Cabaran Inovasi STEM 5R yang menepati kriteria pemikiran reka bentuk serta mempunyai nilai komersial,” ujar beliau.

Program Pengurangan Kesan Plastik Terhadap Alam Sekitar Melalui Modul 5R tersebut merupakan program komuniti yang memberi kesedaran berkaitan kepentingan mengurangkan dan menggalakkan aktiviti kitar semula sisa buangan domestik. Selain dari guru dan pelajar sekolah, program itu turut melibatkan ibu bapa dan masyarakat setempat.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari, program ini memberi pendedahan dan kesedaran tentang konsep pengeluaran dan penggunaan yang mesra alam dan lestari untuk menangani peningkatan penghasilan sisa terutamanya sisa plastik.

Majlis penutup ini disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, juga merupakan Pro-Canselor UKM.

Antara yang hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.