Program PENJANA KPT-CAP Bakal Lahirkan Graduan yang Komited – Menteri KPT


Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 28 September 2020 – Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi – Career Advancement Programme (KPT-CAP) akan dapat melahirkan graduan yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan serta mampu berdaya saing di semua peringkat, kata Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, kementerian mensasarkan sekurang-kurangnya seramai 20,000 graduan akan mendapat manfaat dari program PENJANA KPT-CAP itu.

“Sehingga hari ini sahaja, sebanyak 140 program telah disusun melibatkan sinergi dengan tidak kurang daripada 100 buah syarikat mengambil bahagian dalam program ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran PENJANA KPT-CAP yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi.

Beliau berkata, terdapat tiga program utama yang digerakkan oleh KPT di bawah peruntukan PENJANA iaitu Job Matching and Placement iaitu satu program yang dirancang untuk meningkatkan kemahiran peserta berdasarkan keperluan industri. 

Graduan yang mengikuti program ini dengan jayanya akan ditawarkan pekerjaan di syarikat-syarikat yang telah memberikan jaminan pekerjaan melalui letter of commitment.

“Kedua ialah Program Berterusan Keusahawanan, iaitu program latihan yang berupaya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta dalam bidang keusahawanan sehingga berupaya menubuhkan syarikat pemula. Graduan-graduan ini akan diberikan bantuan pembiayaan yang disediakan oleh agensi pembiaya yang diiktiraf.

“Ketiganya pula ialah program yang bercirikan GIG Economy. Program latihan ini mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan melalui aktiviti berbentuk freelancing,” katanya.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr Noraini memaklumkan bahawa KPT telah mengambil inisiatif membangunkan portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) bagi memudahkan bakal graduan membangunkan kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran diri.

“Antara maklumat dan perkhidmatan yang disediakan dalam portal sehenti ini adalah perkhidmatan padanan pekerjaan; permohonan untuk mengikuti program reskilling dan upskilling; permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan melanjutkan pengajian; perkhidmatan untuk mendapatkan kaunseling kerjaya; e-profiling dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, beliau yakin melalui strategi yang betul, kejayaan yang lebih cemerlang mampu dicapai bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi negara.

Majlis pelancaran tersebut telah disempiurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.