Program Permata Pintar Tunjuk Prestasi Cemerlang

01Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 18 Jun 2015 – Program Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mula menunjukkan prestasi cemerlang apabila lebih 90 peratus pelajar yang terlibat dalam program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) telah memilih untuk melanjutkan pengajian asas berbanding sains gunaan dan matematik.

Penaung Permata Negara yang juga merupakan isteri kepada Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata pelajar-pelajar itu sekarang telah melanjutkan pengajian di pelbagai universiti di United States, United Kingdom, Jerman, Jepun, Korea Selatan and Malaysia.

“Ini menunjukkan minat mereka dalam mengejar kerjaya dalam STEM dan mahu bekerja dengan idea-idea baru dan inovatif yang akan menghasilkan hasil yang unik dan asli untuk manfaat generasi akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutup Kem Musim Panas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Kazakhstan di pusat Permata Pintar Negara, UKM, di sini semalam.

Dalam ucapannya, Rosmah berharap agar Kem Musim Panas UKM-Kazakhstan akan dijadikan program tahunan supaya pelajar dari kedua-dua negara boleh belajar bagaimana hidup seperti masyarakat global yang sebenar.

Beliau berkata Permata Pintar telah menjalankan kem-kem untuk kanak-kanak berbakat berumur 8 hingga 15 tahun sejak tahun 2009, dengan kerjasama Pusat Belia Berbakat Johns Hopkins University,.

“Kita adakan program ini kerana kita memahami bahawa kanak-kanak pintar dan cerdas memerlukan pengalaman pendidikan yang unik dan mencabar kebolehan mereka.

“Jika kita gagal untuk menyediakan program-program seperti ini, terutamanya dalam STEM, hasilnya adalah pengaliran keluar pakar-pakar kita ke negara-negara yang menawarkan peluang-peluang ini,” katanya.

Sebanyak 51 pelajar bersama lapan orang guru dari Sekolah Antarabangsa Nazarbayev, Kazakhstan berumur 12 hingga 18 tahun menyertai kem musim panas selama tiga minggu bermula 31 Mei lepas.

Selama tiga minggu mereka di sini, pelajar-pelajar Kazakhstan juga telah didedahkan dengan budaya masyarakat Malaysia seperti mempelajari kraftangan Malaysia, mengambil bahagian dalam tarian tempatan, melawat Pusat Kraf Malaysia, melawat Institut Penyelidikan Genome dan Menara Berkembar Kuala lumpur.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berharap agar Kem Musim Panas STEM UKM-Kazakhstan akan membuka peluang kedua-dua negara dalam mendidik pelajar-pelajar berbakat dari Malaysia dan Kazakhstan.

“Kerjasama ini boleh dilakukan melalui program latihan guru, program mobiliti pelajar dan staf akademik, penyelidikan, penerbitan dan banyak lagi.

Saya yakin kedua-dua negara boleh belajar daripada satu sama lain dan pembelajaran ini akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang berbakat dari kedua-dua negara,” katanya.

Katanya selain memberi fokus kepada STEM, Pusat Permata Pintar Negara UKM juga turut menyediakan kurikulum tambahan seperti kemahiran penyelidikan, program pembangunan diri, bahasa asing dan kesukarelawan.

“Selepas lima tahun beroperasi, pelajar Permata Pintar telah membuat Malaysia bangga dengan memenangi anugerah dalam pelbagai bidang penyelidikan.

“Target kami adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang kompeten untuk menghadapi cabaran abad ke-21, yang mempunyai harga diri yang tinggi, merendah diri dalam menghargai pengetahuan dalam semua bidang dan tidak hanya kreatif tetapi mempunyai pemikiran yang inovatif,” tambah beliau.

02

03