Pusat Pengajian Citra Universiti Jalin Kerjasama Dengan 9 Rakan Industri

Oleh Nur Batrisyia dan Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 4 Mei 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pengajian Citra UKM menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan 10 rakan industri bagi memantapkan kursus pengajian Sains Citra.

Rakan industri tersebut ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), RHB Bank Berhad, Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd, K & P Cove Consultancy Sdn. Bhd, Professional Mutawwif Development Sdn.Bhd, Athena Holdiings Sdn. Bhd, The Dalucia Sdn.Bhd, Senang La Sdn. Bhd dan DoGood Club.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata kerjasama bertujuan menjayakan matlamat program pendidikan Citra UKM yang merupakan program kurikulum tersedia masa depan (future ready curriculum) yang pertama di Malaysia.

“Kerjasama strategik sebegini amatlah penting dalam memberikan pendedahan dan pengamalan pembelajaran sebenar kepada para pelajar.

“Pengalaman berharga yang dipelajari di organisasi rakan strategik, ditambah dengan ilmu yang dipelajari di universiti diharap dapat membantu meningkatkan keupayaan graduan untuk mencipta pekerjaan baharu yang sesuai dengan keperluan masa hadapan negara,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan industri juga amat penting bagi memastikan graduan yang terhasil menepati keperluan industri.

“Penglibatan pihak industri juga akan meningkatkan kualiti pengisian program Ijazah Sarjana Muda Sains Citra, selain memperkemaskan instrument penilaian dan kurikulum program secara berterusan.

“Dengan input daripada practitioner dari pelbagai bidang serta pengalaman projek work-based learning (WBL), ia akan menghasilkan graduan ‘industry ready’, ‘job creators’, mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang, cerdas menyelesaikan masalah, versatile dan bijak berbahas sebarang isu yang bermanfaat,” katanya.

Sementara itu, Prof.Dr. Khairul Anwar Mastor, Dekan Pusat Pengajian Citra Universiti berkata Program Sarjana Muda Sains Citra (SmSC) mula diperkenalkan pada tahun 2018 sebagai program bukan konvesional yang memberikan kebebasan kepada pelajar-pelajar memilih bidang penumpuan, sesuai dengan minat dan aspirasi kerjaya mereka.

Beliau berkata program SmSC ini menampilkan mod 2u2i, iaitu pelajar-pelajar berpeluang belajar dua tahun di universiti dan dua tahun di industri melalui pendekatan WBL.

Beliau berharap melalui program itu, ia akan mendatangkan hasil dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Program SmSC pada kohort pertama mempunyai pelajar seramai 85 orang, kohort kedua pula seramai 55 orang dan pada kohort ketiga seramai 45 orang.

Beliau berkata kohort pertama akan menamatkan pengajian mereka pada tahun hadapan.